Permohonan maaf DAP bukti GPS benar, amal politik bersih, kata Abang Jo


GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) menerima permohonan maaf DAP dengan hati terbuka dan berjiwa besar, kata pengerusinya Abang Johari Openg.

Beliau berkata baginya yang penting DAP mengakui kesilapan mereka dan bersedia membuka lembaran baharu dalam hubungan antara kedua-dua parti politik itu.

“Mereka (DAP) sebut mahu buka lembaran baharu tapi pada masa sama mereka perlu hormat komponen parti kami (GPS) iaitu SUPP (Parti Rakyat Bersatu Sarawak).

“(Permohonan maaf) itu menunjukkan kami (GPS) kami di pihak benar selama ini dan politik kami adalah politik bersih,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi GPS di Kuching, hari ini.

DAP hari ini membuat permohonan maaf atas sebarang kenyataan dibuat pemimpin parti itu sebelum ini yang menyinggung perasaan kerajaan negeri serta rakyat Sarawak.

Permohonan maaf itu disampaikan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook kepada Abang Johari dalam satu pertemuan di kediaman Abang Johari di Kuching hari ini.

Menerusi kenyataan di media sosial miliknya hari ini, Loke berharap pertemuan itu akan membuka satu lembaran baharu untuk membina persefahaman dan kerjasama demi negara Malaysia yang lebih maju dan progresif.

GPS yang merupakan gabungan empat parti Sarawak terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), SUPP, Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) memenangi 23 daripada 31 kerusi Parlimen di negeri itu pada PRU15. – Bernama, 24 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen