DAP mohon maaf pada pemimpin, rakyat Sarawak


Setiausaha Agung DAP Anthony Loke mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Abang Johari Openg hari ini untuk memohon maaf.– Gambar fail The Malaysian Insight, 24 November, 2022.

DAP membuat kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Abang Johari Openg hari ini untuk memohon maaf atas keterlanjuran kata pemimpin parti berkenaan selama ini.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata beliau mewakili parti tersebut memohon maaf atas segala kenyataan pemimpin partinya yang menyinggung perasaan.

“Saya memaklumkan kepada premier bahawa sekiranya terdapat apa-apa kenyataan yang pernah dibuat mana-mana pemimpin DAP yang menyinggung perasaan kerajaan dan rakyat Sarawak, saya mewakili pihak DAP memohon maaf secara terbuka.

“Saya berharap pertemuan hari ini akan membuka satu lembaran baharu untuk membina persefahaman dan kerjasama demi negara Malaysia yang lebih maju dan progresif,” katanya.

Turut hadir dalam pertemuan itu Timbalan Premier Sarawak Dr Sim Hui Kian.

Permohonan maaf serupa dirayu Pengerusi DAP Lim Guan Eng atas kenyataannya sebelum ini yang mengguris hati premier Sarawak dan kerajaan negeri.

“Masa depan negara lebih penting,” katanya yang menganjurkan agar usaha dimulakan untuk kerjasama mengekalkan kepelbagaian, dan perpaduan pelbagai bangsa.

Selain itu kerjasama jugga perlu untuk mempertahankan perlembagaan demi kepentingan semua rakyat Sabah dan Sarawak, kata Lim dalam kenyataannya.

Usaha DAP mengambil hati pemimpin GPS itu dilakukan sewaktu peringkat akhir rundingan antara parti untuk memecahkan kebuntuan dan membentuk kerajaan persekutuan.

Ia berlaku sewaktu Raja-Raja Melayu bermesyuarat dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bagi pelantikan perdana menteri kesepuluh.

Perkembangan itu dijangka langkah terakhir sebelum perdana menteri kesepuluh dapat mengangkat sumpah dan membentuk kerajaan baharu, selepas PRU15 berlangsung pada Sabtu lalu.

Perseteruan DAP dengan GPS merupakan antara batu penghalang dalam usaha PH untuk membentuk gabungan kerajaan peringkat persekutuan dengan gabungan parti utama Sarawak itu.

PH yang menang 83 kerusi kini antara lain mengusahakan kerajaan gabungan dengan BN yang meraih 30 kerusi dan juga GPS yang menguasai 83 dari keseluruhan 222 kerusi Parlimen .

PH menamakan pengerusinya Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri kesepuluh.– 24 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen