Ahli Parlimen BN bertemu Muhyiddin, kata sumber


Pertemuan itu bagi mendengar cadangan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkenaan kerajaan perpaduan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2022.

AHLI-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin Yassin petang ini bagi mendengar cadangan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkenaan kerajaan perpaduan, menurut sumber parti.

Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob pertama tiba di sebuah hotel di Kuala Lumpur, disusuli Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan.

Ismail berkata beliau berada di hotel tersebut untuk menghadiri mesyuarat dan enggan mengulas lanjut.

Presiden MCA Wee Ka Siong bagaimanapun tidak menyertai pertemuan petang ini.

Di Facebook, Wee memuat naik gambar di pejabatnya di ibu pejabat MCA, sekali gus menafikan dakwaan beliau turut menyertai pertemuan dengan Muhyiddin.

“Saya kini berada di ibu pejabat MCA untuk urusan parti,” tulisnya. 

Pertemuan petang ini diadakan selepas tiga pemimpin tertinggi BN menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pagi tadi, bagi merungkai kemelut politik negara yang berlarutan sejak beberapa hari lalu.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi dilapor berkata Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua 30 ahli parlimen parti itu mesti mengambil bahagian dalam kerajaan perpaduan.

“Titah Tuanku ialah bentuk kerajaan perpaduan,” katanya dipetik Malaysiakini.

Berkenaan keputusan BN untuk tidak menyokong Pakatan Harapan (PH) atau PN, Zahid menjawab: “Tak ada, tak ada… Bukan itu titah Tuanku.”

Beliau seterusnya berkata titah Baginda itu akan dibincangkan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dan kemudiannya Dewan Tertinggi BN.

Semalam Yang di-Pertuan Agong menerima mengadap Pengerusi PH Anwar Ibrahim dan Muhyiddin.

Menurut Anwar, Baginda mencadangkan agar PH dan PN bersama-sama membentuk kerajaan perpaduan.

Bagaimanapun, Muhyiddin dalam sidang medianya selepas mengadap Agong menolak saranan Baginda bagi membentuk kerajaan perpaduan.

Ahli Parlimen Pagoh itu menegaskan PN konsisten dengan pendiriannya untuk tidak bergabung dengan PH.

Bagaimanapun, Anwar menyatakan kesediaan untuk memenuhi kehendak Agong dengan mana-mana pihak.

Dalam pilihan raya umum minggu lepas, PH menang 83 kerusi. PN memperoleh 73 kerusi manakala BN hanya menang 30 kerusi. – 23 November, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen