Malaysia sokong keputusan mahkamah berhubung MH17, kata PM


Pada 17 Julai 2014 pesawat penumpang Boeing 777 MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine ketika dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur. – Gambar EPA, 18 November, 2022.

MALAYSIA menyokong dan berpuas hati dengan keputusan mahkamah di Belanda yang mendapati tiga tertuduh dalam kes pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 2014 bersalah melakukan jenayah itu, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata keputusan oleh Mahkamah Daerah The Hague itu menjadi satu tanda aras yang penting dalam usaha mencari kebenaran serta menegakkan keadilan kepada kesemua 298 mangsa termasuk 43 rakyat Malaysia yang terkorban dalam tragedi itu serta waris mereka.

“Malaysia sentiasa berpendirian bahawa perbicaraan yang dijalankan mestilah berlandaskan kepada kebenaran, keadilan serta penuh tanggungjawab. Dalam hubungan ini Malaysia menyokong keputusan yang dibuat oleh mahkamah The Hague.

“Malaysia juga berpuas hati terhadap proses penghakiman yang boleh dipercayai dan telus yang dilaksanakan dalam sistem perundangan Belanda berdasarkan kedaulatan undang-undang demi mendapatkan keadilan yang telah lama dinanti-nantikan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Ramah Mesra bersama Penduduk di Bandar 32 di Bera hari ini.

Pada 17 Julai 2014 pesawat penumpang Boeing 777 itu ditembak jatuh di timur Ukraine ketika dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur.

Menurut laporan media mahkamah Belanda itu memutuskan pesawat MH17 berkenaan ditembak jatuh oleh peluru berpandu buatan Rusia yang dilancarkan dari sebuah padang ladang berhampiran Pervomaisk di timur Ukraine.

Mahkamah itu menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas dua warga Rusia iaitu Igor Girkin dan Sergei Dubinsky, kedua-duanya bekas pegawai perisikan Rusia dan seorang warga Ukraine yang juga pemimpin pemisah Leonid Kharchenko selepas didapati bersalah atas pertuduhan menembak jatuh MH17 manakala seorang lagi warga Rusia Oleg Pulatov didapati tidak bersalah.

Hakim Hendrik Steenhuis yang mengetuai penghakiman dalam perbicaraan itu juga memerintahkan tiga tertuduh itu membayar pampasan lebih 16 juta Euro (RM75.26 juta) kepada keluarga mangsa.

Ismail Sabri berkata Malaysia mewakili pihak yang terkesan dengan kejadian itu merakamkan penghargaan kepada ahli Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) yang terdiri daripada Belanda, Australia, Belgium dan Ukraine yang bertungkus lumus menjalankan siasatan terhadap tragedi MH17 itu.

Ismail Sabri turut menzahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga dan waris kru serta penumpang pesawat MH17.

“Keputusan mahkamah ini diharap dapat sedikit sebanyak memberi kelegaan dan ketenangan kepada keluarga waris yang terbunuh dalam kejadian itu, walaupun tiada yang dapat mengembalikan nyawa mereka yang terkorban,” katanya. – Bernama, 18 November, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen