Undi bukan Melayu penentu kemenangan Anwar di Tambun, kata penganalisis


Ravin Palanisamy

Penganalisis politik percaya Pengerusi PH Anwar Ibrahim boleh menang di Tambun dengan sokongan padu daripada pengundi bukan Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 November, 2022.

UNDI bukan Melayu jadi penentu kepada kemenangan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim di kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) susulan jangkaan undi Melayu berpecah, kata penganalisis politik.

Mereka berkata undi Melayu di Tambun dijangka berpecah disebabkan empat parti yang bertanding pada Sabtu, 19 November ini.

Kawasan Parlimen Tambun mempunyai demografi pengundi Melayu sekitar 66%, Cina (20.5%), India (12.1%) dan lain-lain (1.4%) daripada keseluruhan 160,558 pengundi berdaftar.

Di Tambun Anwar menghadapi saingan empat penjuru, ditentang penyandang kerusi itu Ahmad Faizal Azumu mewakili Perikatan Nasional/Bersatu, Aminuddin Hanafiah (Barisan Nasional/Umno) dan Abdul Rahim Tahir (Pejuang).

Undi Melayu akan berpecah kepada tiga antara Umno, Bersatu dan Pejuang.

Pensyarah Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia  Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar memberitahu The Malaysian Insight beliau percaya Anwar boleh menang di Tambun dengan sokongan padu pengundi bukan Melayu.

“Kemenangan Anwar bergantung terutamanya pada undi bukan Melayu kerana mereka tidak akan tertarik kepada calon dari parti-parti Melayu.”

Beliau juga berpandangan presiden PKR itu akan memperoleh sejumlah besar undi Melayu menewaskan pesaing terdekatnya, Ahmad Faizal.

“Sepatutnya beliau boleh dapat sokongan besar orang Melayu kerana mereka mungkin tidak akan memilih Ahmad Faizal yang juga pencabar terdekat Anwar. Walaupun beliau (Ahmad Faizal) bekas menteri besar dan menteri Kabinet, tidak banyak yang kita tahu tentang sumbangan dan ideanya di Tambun,” jelas Tunku Mohar.

Sementara itu, Profesor Pengajian Asia University Tasmania James Chin meramalkan Anwar akan menang mudah di Tambun dengan memperoleh hampir 90% undi Cina.

“Ya, mungkin Anwar bergantung pada undi DAP dan Cina, dan jelas sekali beliau akan peroleh antara 80%-90% undi mereka.

“Jadi, beliau hanya perlu dapat satu pertiga hingga separuh undi Melayu untuk mengalahkan Peja,” kata Chin, merujuk kepada nama gelaran Ahmad Faizal. 

Kebanyakan pengundi bukan Melayu di Tambun berkata Pengerusi PH Anwar Ibrahim  harus diberi peluang untuk memimpin negara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 16 November, 2022.

Bukan Melayu akan sokong Anwar

Beberapa pengundi bukan Melayu yang ditemu bual The Malaysian Insight berkata mereka akan menyokong Anwar sebagai perdana menteri kesepuluh, menegaskan presiden PKR itu harus diberi peluang untuk memimpin negara.

“Beliau sudah melalui banyak cabaran. Malah semasa PH menang dulu (semasa PRU14) beliau sepatutnya jadi perdana menteri, tetapi ada pihak yang menggagalkannya.

“Anwar patut diberi peluang. Beliau lantang bersuara, berwawasan, dan ada semua kualiti untuk pimpin negara. Kami yakin beliau boleh bawa pembaharuan kepada Malaysia,” kata seorang pengundi yang hanya mahu dikenali sebagai Chin.

Chin menambah, jika dibandingkan dengan calon perdana menteri lain – Ismail Sabri Yaakob (BN), Muhyiddin Yassin (PN) dan Dr Mahathir Mohamad (Pejuang) – Anwar jauh lebih berketerampilan.

Katanya rakyat sendiri boleh menilai prestasi tiga calon itu yang pernah memegang jawatan perdana menteri.

“Antara mereka, saya pilih Anwar kerana beliau mahu membawa perubahan kepada negara.

“Kita sudah tengok sendiri prestasi mereka bertiga kerana mereka pernah jadi perdana menteri. Jadi, mengapa tidak kita beri peluang kepada Anwar tunjukkan kemampuannya?” ujar Chin, 51.

Seorang lagi pengundi, Pavitra, berkata beliau memutuskan untuk memilih Anwar sebaik sahaja mendapat tahu pengerusi PH itu akan bertanding di Tambun pada PRU15, Sabtu ini.

Wanita berusia 32 tahun itu menambah beliau sudah cukup muak dengan perbalahan politik sejak beberapa tahun lalu, dan Anwar harus menang di Tambun dan seterusnya dipilih jadi perdana menteri.

Di Tambun Anwar Ibrahim menghadapi saingan empat penjuru, ditentang penyandang kerusi itu Ahmad Faizal Azumu (PN), Aminuddin Hanafiah (BN) dan Abdul Rahim Tahir (Pejuang).– Gambar fail The Malaysian Insight, 16 November, 2022.

Katanya seorang ahli politik yang berkaliber seperti Anwar tidak seharusnya dibiarkan kalah.

“Bagi saya Anwar pilihan terbaik. Bukan sebab saya tak suka calon lain, tetapi saya tidak mahu pilih orang yang kurang bersuara di Parlimen dan hanya jadi boneka dalam parti.

“Kita semua tahun kemampuan Peja. Apa sumbangan beliau sepanjang beberapa tahun ini? Anwar pula sentiasa bercakap tentang isu rakyat.

“Lupakan sekejap tentang cita-citanya (Anwar) untuk jadi perdana menteri, tetapi patutkah kita ketepikan calon yang bersuara untuk kita? Tidak. Jadi saya akan pilih Anwar,” kata akauntan itu.

Pavitra yang bekerja di Kuala Lumpur berkata beliau pulang ke Tambun seminggu lebih awal untuk mengundi Sabtu ini selepas mendapat kebenaran dari majikan untuk bekerja dari rumah.

“Kami teruja untuk mengundi kali ini. Mana tahu kalau betul-betul perdana menteri selepas ini memang dari Tambun,” ujarnya.

Bagi pengundi kali pertama Alex, anak muda ini berkata beliau juga akan memilih Anwar pada PRU15. 

Menurut Alex antara empat parti yang bertanding di Tambun hanya PH yang dirasakan lebih relevan.

“Sudah pasti saya tidak akan undi BN. PN pula sebab mereka ada PAS, manakala Pejuang hanya perjuang agenda Melayu. Jadi saya hanya akan pilih PH,” kata mahasiswa berusia 23 tahun itu kepada The Malaysian Insight.

Sebagai pengundi kali pertama, Alex berkata beliau teruja apabila calon perdana menteri kesepuluh bertanding di Tambun.

Katanya Anwar mempunyai karisma dan yakin pengerusi PH itu pasti mendapat sokongan besar masyarakat di kawasan itu.

“Dalam setiap ceramah Anwar bercakap tentang perkara yang betul dan membangkitkan isu-isu rakyat.

“Kita tengok nanti sama ada PH boleh bentuk kerajaan seterusnya,” kata Alex. – 16 November, 2022.   

Berita penuh di sini
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen