Semua calon PN bebas rasuah, kata Azmin


Mohamed Azmin Ali akan mempertahankan kerusi Parlimen Gombak dan ditentang antaranya Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dari Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 November, 2022.

SEMUA calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bebas daripada amalan rasuah, kata Pengarah Pilihan Raya PN, Mohamed Azmin Ali.

Penyandang kerusi Parlimen Gombak itu berkata, rakyat harus bijak memilih calon supaya PN dapat membentuk kerajaan yang bersih, stabil dan bebas rasuah.

“Calon-calon PN bersih daripada amalan rasuah dan tiada kes mahkamah mengenai rasuah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri ceramah rakyat PN di Teluk Kumbar, Pulau Pinang hari ini.

Hadir sama Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff dan calon PN kerusi Parlimen Balik Pulau, Mohd Harris Idaham Mohd Rashid.

Sebaliknya, Azmin berkata beberapa calon daripada parti lain masih mempunyai kes yang sedang dibicarakan di mahkamah.

Menurutnya, mereka sepatutnya memberi laluan kepada tokoh baharu sementara kes dibicarakan di mahkamah.

Pada PRU15 19 November ini, PN meletakkan wakil di semua 13 kerusi Parlimen di Pulau Pinang. – Bernama, 11 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen