KDNK suku ketiga Malaysia cecah 14.2%


Gabenor BNM Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata pertumbuhan KDNK sebahagiannya didorong oleh kesan asas yang rendah, berikutan langkah pembendungan yang ketat pada suku ketiga tahun lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 November, 2022.

EKONOMI Malaysia berkembang sebanyak 14.2% pada suku ketiga 2022, dipacu oleh pengembangan berterusan dalam permintaan domestik, pemulihan kukuh pasaran pekerja, eksport elektrik dan elektronik (E&E) dan bukan E&E yang teguh serta sokongan dasar yang berterusan.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata pertumbuhan itu sebahagiannya didorong oleh kesan asas yang rendah, berikutan langkah pembendungan yang ketat pada suku ketiga tahun lepas.

Beliau berkata berdasarkan pertumbuhan baik yang dicatatkan dalam tempoh sembilan bulan pertama 2022, pertumbuhan keseluruhan bagi 2022 akan melebihi 7.0% yang diunjurkan sebelum ini.

“Krisis ekonomi lazimnya dikaitkan dengan penguncupan KDNK, kadar pengangguran yang lebih tinggi, penutupan perniagaan dan kegagalan pengantaraan kewangan.

“Kita tidak menyaksikan petunjuk ini. KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) telah berkembang pada empat suku berturut-turut sejak suku keempat 2021,” katanya semasa sidang media di Kuala Lumpur, pada Jumaat.

Nor Shamsiah berkata sektor perkhidmatan berkembang 16.7%, pembuatan mencatatkan 13.2%, pertanian berkembang sebanyak 1.2%, perlombongan pula tumbuh pada 9.2% dan pembinaan sebanyak 15.3%.

Aktiviti berkaitan pengguna lebih tinggi susulan pemulihan sektor pelancongan, keadaan pasaran buruh menjadi lebih baik dan sokongan dasar meningkatkan sektor perkhidmatan, selain itu bagi sektor pertanian, pengeluaran sawit lebih tinggi didorong kekurangan buruh yang semakin dapat ditangani dan hasil yang lebih baik, katanya.

“Walaupun persekitaran global dijangka mencabar pada 2023, ekonomi Malaysia akan terus berkembang. Ekonomi ini diunjurkan berkembang sebanyak 4.0 hingga 5.0% pada 2023, dan terus mengatasi paras sebelum pandemik,” katanya.

Beliau berkata peningkatan kukuh kadar pekerjaan dan penambahbaikan berterusan dari segi upah menyokong perbelanjaan. Penerusan projek infrastruktur sedia ada dan baharu serta ketibaan pelancong yang lebih tinggi akan menyokong pertumbuhan pada 2023.

Antara projek infrastruktur itu ialah Laluan Rel Pantai Timur bernilai RM50 bilion, Transit Aliran Ringan 3 bernilai RM16.6 bilion, ‘Central Spine Road’ bernilai RM7.3 bilion dan Jalinan Digital Negara (Jendela) Fasa Dua dengan RM8 bilion.

Nor Shamsiah berkata impak kelembapan mendadak yang dialami permintaan luaran akan dikurangkan sebahagiannya oleh kepelbagaian produk dan pasaran eksport.

“Eksport Malaysia yang pelbagai akan membantu mengurangkan potensi kejutan dalam permintaan luar,” katanya.

Beliau berkata bagaimanapun, pertumbuhan Malaysia masih cenderung kepada negatif, yang timbul terutamanya daripada faktor luaran.

Faktor luaran ini adalah pertumbuhan global yang lebih lemah berbanding jangkaan, peningkatan ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk termasuk kesan daripada perubahan iklim, kenaikan kos sara hidup yang lebih cepat dan inflasi, ketidaktentuan pasaran kewangan yang lebih ketara serta ketidaktentuan politik, katanya. – Bernama, 11 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen