91 akaun bank, RM177 juta dibekukan selepas skim piramid diserbu


Amin Iskandar

Pengarah Penguatkuasaan KPDNKK Mohd Roslan Mahayudin menunjukkan sebahagian daripada barangan rampasan MBI Group International di Putrajaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 31 Mei, 2017.

91 akaun bank menyimpan RM177 juta dibekukan selepas serbuan di Ibu Pejabat MBI Group International dan 5 premis lain di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur Isnin lepas, kata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Menurut Pengarah Penguatkuasaan KPDNKK Mohd Roslan Mahayudin semua akaun bank itu dibekukan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).

“Berdasarkan maklumat dan bukti yang diperolehi semasa serbuan skim Mfc Club dan syarikat terlibat juga disyaki melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 4 (1) Amla,” kata Roslan pada sidang media di Putrajaya petang ini.

Isnin lalu, ibu pejabat MBI International di Ampang dan pejabat pengurusan M Mall di Pulau Pinang diserbu KPDNKK.

Operasi mencecegah skim piramid ini dijalankan Bahagian Penguatkuasaan KPDNKK dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), CyberSecurity dan Pejabat Peguam Negara dalam satu operasi diberi nama OPS TOKEN.

Selain pembekuan 91 akaun bank, di antara barangan mewah yang turut dirampas dalam serbuan di 6 premis di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang ialah jam tangan, beg tangan, jongkong emas, pemacu kilat USB dan barangan kemas.

Operasi bersama ini diselaraskan National Revenue Recovery Enforcement Team (NRRET) daripada Jabatan Peguam Negara dan diketuai bahagian penguatkuasa KPDNKK melibatkan 93 orang anggota.

Roslan berkata, serbuan dilaksanakan mengikut Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993 dan juga akta yang dikuatkuasakan BNM dan SSM.

“Daripada 6 premis yang diserbu, 3 daripadanya merupakan premis kediaman dan buat masa ini tiada tangkapan dibuat.

“Kita ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak menyertai skim yang menjanjikan pulangan, kadar faedah atau keuntungan yang tinggi dan tidak realistik,” katanya.

Ketika ditanya mengapa tiada tangkapan dilakukan setakat ini, Roslan berkata ini kerana siasatan masih dijalankan. – 31 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen