Diskaun, baucar dan rebat hingga RM100 galakkan rakyat melancong dalam negara 


Kerajaan memperuntukkan RM25 juta bagi menyediakan pelbagai insentif kepada rakyat untuk menggalakkan mereka melancong ke destinasi pilihan dalam negara.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2022.

DALAM usaha menggalakkan Keluarga Malaysia melancong di destinasi pilihan dalam negara, kerajaan memperuntukkan RM25 juta bagi menyediakan pelbagai insentif kepada rakyat.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat hari ini berkata insentif berkenaan adalah dalam bentuk diskaun, baucar dan rebat bagi penginapan, pakej pelancongan, kraf tangan dan karya seni sehingga RM100.

Secara keseluruhan, beliau berkata RM200 juta disediakan untuk galakan, promosi dan pemasaran bagi memperkukuh pemulihan sektor pelancongan susulan negara menyasarkan menerima lebih 15 juta pelancong asing dengan nilai pendapatan RM47.6 bilion pada tahun hadapan.

“Antaranya, kerajaan akan menumpukan kepada pelancong bernilai tinggi daripada segmen pasaran khusus atau ‘niche market segment’ seperti ekopelancongan, sukan golf dan skuba serta konvensyen antarabangsa.

Sebanyak RM90 juta disediakan dalam bentuk geran sepadan untuk program seperti Geran Padanan Galakan Melancong (Gamelan) yang melibatkan kempen promosi dan pemasaran bersama industri. Geran sepadan juga disediakan untuk insentif penganjuran program pelancongan termasuk acara sukan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata kerajaan bersama Malaysia Airport Holdings Berhad dan syarikat penerbangan antarabangsa akan mengusahakan laluan penerbangan terus baharu destinasi antarabangsa seperti dari Timur Tengah ke Malaysia termasuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Pulau Pinang.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata RM10 juta disediakan melalui usaha sama dengan jaringan pengusaha ekopelancongan pada tahun hadapan bagi menaik taraf tarikan ekopelancongan di Gua Kelam, Perlis; merintis usaha pengurusan sisa pepejal mampan di Pulau Perhentian, Terengganu dan mempergiat aktiviti-aktiviti di Taman Pertanian Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di Kuantan, Pahang.

Bagi menggalakkan lagi sektor pelancongan mengutamakan kraf tangan tempatan, beliau berkata kerajaan mencadangkan potongan cukai khas kepada hotel yang membeli produk kraf tangan tempatan dengan kos pembelian sehingga RM500,000.

Dalam usaha membantu pengusaha pelancongan, kerajaan bercadang untuk melaksanakan empat inisiatif iaitu pembiayaan Pelancongan Bank Negara Malaysia dengan dana RM500 juta termasuk meningkatkan had pembiayaan maksimum daripada RM300,000 kepada RM500,000

“Kedua, pengecualian cukai 100 peratus diberikan ke atas pendapatan berkanun bagi pengendali pelancongan yang membawa sekurang-kurangnya 200 pelancong asing setahun atau mengendalikan sekurang-kurangnya 400 pelancong tempatan.

“Ketiga, pengecualian duti eksais 50 peratus ke atas pembelian kenderaan pelancongan kereta pemasangan tempatan (CKD) bagi kegunaan kereta sewa dan pandu serta bas persiaran dan keempat, Elaun Pelaburan Semula bagi projek perhotelan dan pelancongan terpilih diperkenalkan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967,” katanya.

Menteri kewangan itu turut mengumumkan RM10 juta diperuntukkan kepada ThinkCity untuk inisiatif penjanaan semula pusat bandar Kuala Lumpur bagi terus mentransformasi ia menjadi hab kreatif dan budaya. 

Bagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan kesihatan, beliau berkata galakan cukai sedia ada untuk eksport perkhidmatan jagaan kesihatan swasta akan dilanjutkan sehingga 2025 selain RM20 juta disediakan kepada Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong kesihatan. – Bernama, 7 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen