Tempoh buang undi PRU15 lanjut 1 jam, kata menteri


SPR telah melaksanakan beberapa penambahbaikan bagi memastikan perjalanan pilihan raya di negara ini lebih efisyen, adil dan telus, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2022.

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) telah melaksanakan beberapa penambahbaikan termasuk melanjutkan masa pengundian selama satu jam bagi memberi masa yang cukup untuk orang ramai membuang undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Penambahbaikan itu dibuat bagi memastikan perjalanan pilihan raya di negara ini lebih efisyen, adil dan telus, tambah menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam jawapan bertulis menjawab soalan Mukhriz Mahathir (Pejuang-Jerlun) di Dewan Rakyat.

“Tempoh masa pengundian dipanjangkan selama 1 jam iaitu bermula jam 8 pagi hingga 6 petang bagi Semenanjung Malaysia dan 7.30 pagi hingga 5.30 petang bagi Sabah dan Sarawak.

“Pemanjangan tempoh masa ini dapat memberi masa yang mencukupi kepada pemilih untuk membuang undi,” katanya.

Tempoh pengundian pada pilihan raya sebelum ini bermula jam 8 pagi hingga 5 petang sahaja.

Wan Junai selain itu berkata SPR juga mewujudkan saluran khusus kepada pengundi 60 tahun ke atas dan orang kurang upaya (OKU) yang dihadkan kepada 450 pengundi.

Susulan pelaksanaan undi 18 tahun dan pendaftaran pengundi secara automatik, SPR telah mengambil inisiatif untuk
menambah jumlah pusat mengundi dan saluran sedia ada, tambahnya.

Pelaksanaan untuk Undi18 dan pendaftaran pemilih automatik menyaksikan 5,718,760 warga Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas disenaraikan dalam daftar pemilih.

Wan Junaidi seterusnya berkata semua warganegara Malaysia yang berada di luar negara dan merupakan pemilih berdaftar layak
untuk memohon sebagai pengundi pos. 

Ia susulan pemansuhan syarat-syarat kelayakan pengundi pos luar negara seperti yang dilaksanakan pada PRU14.

Sebelum ini, hanya warga yang pernah berada di Malaysia atau kembali ke negara ini tidak kurang daripada 30 hari dalam tempoh lima tahun sebelum tarikh pembubaran Dewan Negeri yang sedang berkuat kuasa layak memohon untuk mengundi secara pos.

Warga Malaysia yang bermastautin di Wilayah Selatan Thailand (Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Satun), Singapura, Brunei dan Kalimantan, Indonesia juag tidak layak memohon pada PRU14. – 4 Oktober, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen