KPM sedia hadapi banjir atau PRU15, kata Radzi


Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin berkata KPM sentiasa bersedia menghadapi PRU15 yang berkemungkinan diadakan ketika musibah banjir melanda.– Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Oktober, 2022.

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sentiasa bersedia dengan asetnya untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berkemungkinan diadakan ketika musibah banjir melanda negara, kata Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata sebagai sebuah institusi ia sentiasa memberi sokongan dan dukungan dalam konteks keperluan untuk menggunakan sekolah sebagai pusat pemindahan banjir atau pusat pengundian dan perkara sebegitu sudah dilaksanakan KPM sejak sekian lama.

“Dalam apa jua keadaan diperlukan untuk banjir maka kami (KPM) bersedia beri kerjasama untuk tujuan itu. Kalau diperlukan sekolah untuk digunakan sebagai pusat pengundian pun itulah yang kita akan beri kerjasama,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Pelaksanaan Projek Pembinaan Kompleks Sekolah Presint 15 di Putrajaya hari ini.

KPM merupakan institusi yang terbabit secara langsung apabila berlaku banjir dengan asetnya seperti sekolah berfungsi sebagai pusat pemindahan sementara mangsa banjir pada masa sama biasanya juga digunakan sebagai pusat pengundian bagi sebarang proses pilihan raya.

Bagaimanapun Radzi yang juga Naib Presiden Bersatu berpendirian kebajikan rakyat diutamakan terlebih dahulu tanpa memikirkan kepentingan politik biarpun semasa parti itu bersedia menghadapi PRU15.

“Kita faham dan kita simpati kesusahan rakyat. Kita ingin beri ruang sebanyaknya untuk proses pentadbiran dan pengurusan negara dapat diberi keutamaan demi kesejahteraan rakyat tetapi kalau dipanggil juga (untuk diadakan) PRU, kami sebagai sebuah parti bersedia bila-bila masa,” katanya ketika mengulas pendirian parti mengenai PRU15. – Bernama, 1 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen