Streram dakwa dipinggirkan PKR Negeri Sembilan


Dr S Streram pernah menjadi calon PH bagi PRK DUN Rantau pada 2019. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Oktober, 2022.

CALON Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau 2019, Dr S Streram yang mengumumkan keluar PKR pada 18 September lalu mendakwa beliau berbuat demikian kerana dipinggirkan parti itu.

Bekas Timbalan Ketua Cabang PKR Rantau itu juga berkata, beliau kini menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) pimpinan Zuraida Kamaruddin yang juga bekas naib presiden PKR, bagi meneruskan khidmat kepada rakyat sejak bulan lalu.

“Saya sudah 14 tahun dengan PKR dan sudah lama berkhidmat untuk rakyat tetapi selepas PRK Rantau, saya dan ramai lagi rakan saya dipinggirkan di Negeri Sembilan.

“Saya membuat keputusan menyertai PBM untuk berkhidmat kepada rakyat, itu adalah matlamat penting saya ketika ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pakar bius itu berkata, beberapa rakan lain dalam PKR juga mendakwa mereka tidak bersefahaman dengan Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun selain tidak bersetuju dengan pemilihan Aminuddin sebagai pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN).

Sementara itu, Setiausaha PKR Negeri Sembilan Aliudin Mohamed berkata, setakat ini beliau belum menerima sebarang pemakluman dari PKR pusat mengenai surat keluar parti daripada Streram.

“Saya belum menerima apa-apa surat daripada beliau, mungkin juga beliau (Streram) boleh ajukan surat berkenaan kepada PKR pusat, namun setakat ini tiada pemakluman daripada mana-mana pihak,” katanya.

Beliau juga memaklumkan sebelum ini Streram tidak mempunyai sebarang isu bersama PKR negeri, namun parti berkenaan tetap menghormati keputusannya. – Bernama, 1 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen