Cadangan bubar Parlimen diputus bersama MT Umno, kata Ismail Sabri


Rakyat Malaysia akan keluar mengundi sekiranya Parlimen dibubarkan dengan Umno menggesa PRU15 diadakan tahun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Oktober, 2022.

CADANGAN Umno untuk pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diputuskan secara bersama dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti itu, kata Ismail Sabri Yaakob.

Beliau yang juga naib presiden Umno bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada tarikh tertentu sudah ditetapkan dan tidak menolak kemungkinan PRU15 akan diadakan tahun ini seperti dinyatakan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan dalam kenyataan semalam.

“Tunggu dulu (tarikh bubar). Semalam Datuk Seri Ahmad Maslan dah buat kenyataan, jadi kita pakai kenyataan dia sebagai setiausaha agung, sebab kita dah putuskan dalam mesyuarat MT semalam, jurucakap dia seorang sahaja,” kata perdana menteri kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas perhimpunan khas bersama warga Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, Ahmad dalam sidang media selepas mesyuarat itu berkata, MT Umno mahu Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU15 diadakan tahun ini.

Ismail Sabri berkata, isu mempercepatkan PRU15 bukan perkara baharu.

“Kita nak kembalikan kepada rakyat untuk buat penentuan, beri mandat semula kepada rakyat (untuk memilih kerajaan),” katanya.

Ditanya sama ada beliau ada menetapkan sebarang syarat sebelum bersetuju untuk PRU15 dipercepatkan, beliau berkata: “Kita dari segi Umno, ada Top 5, ada biro politik, tak ada siapa yang beri sebarang syarat… kalau kita nak buat pilihan raya dan kita ada asas yang kuat untuk kita percepatkan dan setuju secara bersama, kita buatlah. Cuma tarikh tu tunggulah pengumuman,” katanya. – Bernama, 1 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen