Ringgit terus susut berbanding dolar AS


RINGGIT terus menyusut nilai berbanding dolar AS pada sesi pembukaan urus niaga hari ini selepas dolar disokong oleh kenyataan terbaru daripada pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) Jerome Powell mengenai usaha membendung inflasi AS.

Inflasi AS kini meningkat pada kadar terpantas dalam tempoh lebih 40 tahun, kata seorang peniaga.

Pada jam 9 pagi, nilai mata wang tempatan turun kepada 4.6140/6155 berbanding dolar AS daripada penutupan semalam pada 4.6100/6120.

Peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz menjelaskan antara cara paling berkesan untuk memerangi inflasi yang tinggi ialah menaikkan kadar faedah, yang sebaliknya boleh memberi kesan negatif kepada ekonomi.

“Dengan kadar faedah yang lebih tinggi, isi rumah dijangka berbelanja lebih sedikit, sekali gus mengurangkan pertumbuhan ekonomi,” katanya dalam nota hari ini.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama yang lain.

Ringgit menambah nilai berbanding euro kepada 4.4165/4180 daripada 4.4321/4340 penutupan semalam dan mengukuh berbanding yen Jepun menjadi 3.1876/1890 daripada 3.1925/1941 sebelumnya.

Unit tempatan turut meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2031/2045 daripada 3.2099/2117 dan lebih tinggi berbanding pound Britain kepada 4.9328/9344 daripada 4.9770/9791. – Bernama, 28 September, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen