Hashim Jasin minta Muhyiddin cermat buat kenyataan, lapor media


Mursyidul Am PAS Hashim Jasin semua pihak perlu fikirkan matlamat penyatuan ummah yang diperjuangkan selama ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 26 September, 2022.

MURSYIDUL Am PAS Hashim Jasin meminta Muhyiddin Yassin lebih cermat mengeluarkan kenyataannya mengenai musuh bersama Perikatan Nasional (PN) supaya tidak menjejaskan usaha penyatuan ummah, lapor Utusan Malaysia.

“Saya lihat (Muhyiddin) kena cermat dan jangan kasar dalam mengeluarkan kenyataan. Kita kena fikir matlamat penyatuan ummah yang diperjuangkan selama ini.

“Saya lihat Umno dan Bersatu ini sudah berpatah arang namun kita akan terus berusaha menyatupadukan kedua-kedua parti itu demi penyatuan ummah,” katanya, seperti dipetik Utusan Malaysia.

Hashim juga dipetik meminta supaya dihentikan sebarang bentuk serangan yang boleh menyebabkan perpecahan ketika PAS berusaha mempertahankan penyatuan ummah.

Kelmarin, pada majlis sambutan ulang tahun Bersatu, Muhyiddin berkata Barisan Nasional (BN) perlu kekal jadi musuh PN pada pilihan raya umum akan datang.

Muhyiddin yang juga pengerusi PN berkata setiap komponen PN harus bertindak selari dengan ketetapan itu.

Kenyataan Muhyiddin menyusul beberapa hari selepas Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menegaskan pendirian parti Islam itu menganggap Umno kekal rakan kerjasamanya dalam politik.

Takiyuddin juga menegaskan Pakatan Harapan (PH) sebagai musuh parti Islam itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

PAS memeterai kerjasama dengan Umno atas nama Muafakat Nasional pada September 2019 ketika dua parti Melayu itu jadi pembangkang dan ketika PH masih kerajaan.

Selepas percaturan politik Langkah Sheraton, PAS bersama Bersatu dan dua parti di Sabah membentuk PN yang diterajui Muhyiddin.

Pimpinan tinggi Umno kemudian menegaskan MN sudah terkubur selepas PAS menolak kerjasama dengannya dalam pilihan raya negeri terutamanya di Melaka dan Johor.

Dalam dua pilihan raya negeri itu PAS bertanding atas tiket PN.

Pemimpin PAS bagaimanapun membayangkan kerjasama itu masih boleh diselamatkan.– 26 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen