AS ingatkan Rusia serangan nuklear akibatkan malapetaka


Presiden Rusia Vladimir Putin membuat ancaman tersirat untuk menggunakan senjata nuklear dalam ucapan pada Rabu lepas di mana beliau mengumumkan pengerahan pasukan simpanan untuk operasi ketenteraannya di Ukraine. – Gambar EPA, 26 September, 2022.

AMERIKA Syarikat (AS) memberi amaran kepada Rusia tentang “malapetaka” akan berlaku jika ia menggunakan senjata nuklear sebagai sebahagian daripada pencerobohan Ukraine, kata pegawai tinggi AS.

Presiden Rusia Vladimir Putin membuat ancaman tersirat untuk menggunakan senjata nuklear dalam ucapan pada Rabu lepas di mana beliau mengumumkan pengerahan pasukan simpanan untuk operasi ketenteraannya di Ukraine.

Setiausaha Negara Antony Blinken, dalam satu temu bual yang disiarkan pada Ahad mengesahkan laporan AS telah menghantar amaran peribadi kepada Rusia bagi mengelak terjadinya perang nuklear.

“Kami sangat jelas dengan Rusia, dan juga secara terbuka dan peribadi, untuk menghentikan cakap-cakap mengenai senjata nuklear,” kata Blinken kepada program CBS News “60 Minutes” di New York di luar Perhimpunan Agung PBB.

“Penting untuk Moscow mendengar suara kami dan tahu akibatnya mengerikan. Dan kami telah menjelaskannya dengan sangat jelas,” kata Blinken.

“Sebarang penggunaan senjata nuklear akan mempunyai kesan bencana untuk negara yang menggunakannya, dan ramai orang lain juga.”

Jake Sullivan, penasihat keselamatan Presiden AS Joe Biden, berkata dalam temu bual berasingan pada Ahad, Amerika Syarikat telah memberi amaran “tahap tinggi” kepada Rusia “akibat malapetaka” kerana menggunakan senjata nuklear.

AS dan sekutunya akan “bertindak balas dengan tegas,” kata Sullivan pada “Face the Nation” CBS.

“Kami telah jelas dan spesifik tentang apa yang akan berlaku.”

Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov, ditanya pada sidang media pada Sabtu di PBB mengenai komen Putin itu, hanya berkata doktrin Moscow “adalah terbuka.”

Tiada negara telah menggunakan senjata nuklear di medan perang kecuali Amerika Syarikat pada 1945, apabila ia memusnahkan bandar Jepun Hiroshima dan Nagasaki, membunuh lebih daripada 200,000 orang. Jepun menyerah kalah beberapa hari kemudian, sekali gus menamatkan Perang Dunia II. – AFP, 26 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen