Pemimpin parti gabungan PN tak sehaluan, kata Ahmad Maslan


Ahmad Maslan mendakwa pemimpin utama PN bercanggah pendapat mengenai hubungan dengan Umno dan BN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 September, 2022.

PERCANGGAHAN pendapat pemimpin utama Perikatan Nasional (PN) mengenai pendirian gabungan itu terhadap Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menunjukkan kepimpinan PN sudah tidak sehaluan, kata Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan.

Beliau berkata, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mengatakan BN merupakan musuh utama gabungan itu pada PRU15, namun Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan pula menyifatkan Umno sebagai rakan ta’awun (kerjasama).

“Kelihatan pimpinan utama dua parti dalam PN ini tidak sehaluan dan kita tunggu dan lihat secara teliti perkembangan politik yang akan berlaku sehari dua ini,” kata ahli Parlimen Pontian itu pada sidang media selepas program walimatulurus perdana peringkat daerah Pontian hari ini.

Terdahulu, Takiyuddin baru-baru ini berkata, PAS kekal berpendirian menganggap Umno sebagai rakan ta’awun (kerjasama) dan menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRU-15, namun Muhyiddin semalam dilaporkan berkata parti komponen PN perlu sepakat musuh utama gabungan itu adalah BN.

Mengenai dakwaan ada usaha menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN), Ahmad berkata, MN masih wujud namun tiada sebarang keputusan dibuat untuk menyuburkan kembali gabungan itu dan menyerahkan kepada Majlis Tertinggi Umno membuat keputusan mengenainya.

Terdahulu media melaporkan ada pertemuan antara Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini, yang didakwa mengenai MN bagi mengelakkan pertembungan antara kedua-dua parti itu pada PRU15. – Bernama, 25 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen