Langgar hak orang asli Australia, PBB arah Canberra bayar pampasan


Penduduk asli Pulau Torres yang memfailkan aduan terhadap Australia atas kegagalannya menyesuaikan diri dengan perubahan iklim. – Gambar fail EPA, 25 September, 2022.

AUSTRALIA melanggar hak orang asli kerana gagal melindungi mereka secukupnya daripada kesan perubahan iklim, kata pemerhati Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sambil memerintah dan mengarahkan Canberra membayar pampasan.

Dalam keputusan itu, Jawatankuasa Hak Asasi Manusia PBB memihak kepada penduduk asli Pulau Torres yang memfailkan aduan terhadap Australia atas kegagalannya menyesuaikan diri dengan perubahan iklim.

Penduduk mendedahkan bukti seperti kegagalan Australia untuk menaik taraf tembok laut di pulau mereka atau mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

“Kegagalan Australia untuk melindungi penduduk asli Pulau Torres dengan secukupnya daripada kesan buruk perubahan iklim mencabuli hak asasi untuk menikmati budaya mereka dan bebas daripada gangguan sewenang-wenangnya terhadap kehidupan peribadi, keluarga dan kediaman,” kata jawatankuasa itu dalam keputusannya yang dikeluarkan pada Jumaat.

Lapan warga Australia dan enam anak mereka – kesemuanya penduduk asli Boigu, Poruma, Warraber dan Masig, empat pulau kecil dan rendah di wilayah Selat Torres Australia – memfailkan aduan pada 2019.

Mereka mendakwa perubahan dalam corak cuaca memberi kesan berbahaya langsung terhadap kehidupan, budaya dan cara hidup tradisional mereka.

Banjir teruk yang melanda memusnahkan kubur keluarga dan meninggalkan mayat manusia bergelimpangan di seluruh pulau mereka, kata kumpulan berkenaan.

Mereka juga mendakwa perubahan iklim, dengan hujan lebat dan ribut, merendahkan tanah dan pokok, mengurangkan jumlah makanan yang tersedia daripada perikanan dan pertanian tradisional.

“Lautan yang semakin luas mengancam kediaman dan merosakkan tanah perkuburan serta tapak budaya suci,” kata pihak yang menuntut ketika mereka memfailkan aduan mereka.

“Ramai penduduk bimbang pulau mereka boleh hilang secara literal sepanjang hayat mereka tanpa tindakan segera.”

Jawatankuasa itu, yang terdiri daripada 18 pakar bebas ditugaskan untuk memantau pelaksanaan Perjanjian Antarabangsa Hak Sivil dan Politik, mendapati Australia melanggar dua artikel konvensyen dalam kes itu. – AFP, 25 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen