Filipina waspada hadapi Taufan Noru


Taufan Noru dikesan berada pada kedudukan 175km dari timur wilayah Quezon, selatan Manila, pada pagi Ahad. – Gambar EPA, 25 September, 2022.

FILIPINA bersiap siaga menghadapi taufan Noru susulan biro cuaca negeri meningkatkan tahap amaran di Metro Manila dan beberapa kawasan di pulau Luzon, serta mengeluarkan amaran hujan lebat dan angin “kencang”, lapor agensi berita Xinhua.

Pentadbiran Perkhidmatan Atmosfera, Geofizik dan Astronomi Filipina (Pagasa) memaklumkan Noru, taufan ke-11 yang melanda Filipina tahun ini, berada pada kedudukan 175 kilometer dari timur wilayah Quezon, selatan Manila, pada pagi Ahad.

Taufan itu bertiup ke arah barat dengan kelajuan 20 kmj, serta membawa angin kencang dengan kelajuan 195 kmj sehingga 240 kmj.

Pagasa memaklumkan Noru mungkin akan mendarat di wilayah Quezon atau bahagian selatan wilayah Aurora pada malam Ahad.

Pihak berkuasa menggesa penduduk di sekitar kawasan pantai dan tanah runtuh supaya berpindah.

“Terdapat risiko ribut setinggi lebih 3m bakal melanda kawasan pantai yang rendah dan terdedah,” menurut biro itu.

Terletak di Lingkaran Api Pasifik, Filipina antara negara yang paling terdedah dengan bencana alam.

Hampir tiga perempat daripada penduduk negara itu terdedah kepada pelbagai ancaman semula jadi.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kepulauan itu dilanda beberapa bencana besar termasuk taufan super Haiyan pada 2013, yang mengorbankan lebih 7,000 nyawa. – Bernama, 25 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen