Referendum kunci penyelesaian isu penjajahan Palestin, kata menteri Iran


Akibat sikap berdiam diri masyarakat antarabangsa, rakyat Palestin berdepan pelbagai tindakan tidak berperikemanusiaan disebabkan pendudukan dan pencerobohan Israel. – Gambar AFP, 25 September, 2022.

MENTERI Luar Iran Hossein Amirabdollahian berkata referendum di Palestin akan membantu menamatkan penjajahan rejim zionis dan menyelesaikan pertikaian yang berlarutan di wilayah itu.

Amirabdollahian membuat kenyataan itu pada Sabtu ketika sesi Mesyuarat Menteri-menteri Luar Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.

Akibat sikap berdiam diri masyarakat antarabangsa, rakyat Palestin berdepan pelbagai tindakan tidak berperikemanusiaan disebabkan pendudukan dan pencerobohan Israel, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).

Diplomat tertinggi Iran itu menyalahkan apartheid zionis kerana semakin berani mencabul hak asasi rakyat Palestin, termasuk membabitkan hak untuk hidup dan bekerja.

Beliau mengkritik tindakan rejim yang meluaskan penempatannya di tanah Palestin yang diduduki, sambil berkata rakyat Palestin terpaksa berhijrah, manakala tanah dan ladang mereka dirampas serta dimusnahkan.

Amirabdollahian juga menyeru NAM menggunakan kapasiti diplomatiknya bagi membantu menghentikan jenayah dan tindakan tidak berperikemanusiaan rejim Israel terhadap rakyat Palestin.

Pada 1 November 2019, Iran telah membentangkan inisiatifnya di PBB yang menggesa referendum kebangsaan di Palestin, katanya.

Iran percaya bahawa penyelesaian secara demokrasi akan membantu menyelesaikan isu pendudukan dan pertikaian yang berpanjangan di rantau itu, manakala penduduk Palestin, termasuk orang Islam, Kristian dan Yahudi, boleh memutuskan nasib dan menentukan kerajaan mereka sendiri. – Bernama, 25 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen