Parti reformis Iran desak batal kod wajib pakaian


Sekurang-kurangnya 35 orang terbunuh dan ratusan lain cedera dalam protes yang tercetus selepas kematian Amini. – Gambar AFP, 25 September, 2022.

PARTI reformis utama Iran pada Sabtu menggesa pembatalan kod wajib pemakaian Islamik untuk wanita yang dikuatkuasa sejak 1983, selepas lapan hari protes berlaku.

Parti Kesatuan Islam Rakyat Iran juga mendesak penghapusan polis moral yang menguatkuasakan kod tersebut selepas kematian seorang wanita Kurdish berusia 22 tahun, Mahsa Amini, dalam tahanan pada 16 September lalu.

Parti itu yang diterajui bekas pembantu bekas presiden Mohammad Khatami yang mesra Barat pada 1997 dan 2005, menggesa pihak berkuasa “menyediakan perundangan diperlukan bagi membatalkan undang-undang wajib berhijab”.

Parti itu yang masih sah di bawah undang-undang tetapi tidak berkuasa berkata, Iran perlu mengumumkan “penamatan rasmi polis moral” dan “membenarkan demonstrasi aman.”

Katanya lagi, “suruhanjaya bebas” perlu ditubuhkan untuk menyiasat kematian Amini dan mendesak “pembebasan segera mereka yang ditahan”.

Sekurang-kurangnya 35 orang terbunuh dan ratusan lain cedera dalam protes yang tercetus selepas kematian Amini, menurut angka rasmi. Ratusan lagi ditahan termasuk wartawan, aktivis dan penunjuk perasaan.

Di bawah undang-undang dikuatkuasa pada 1983, empat tahun selepas Revolusi Iran, semua wanita tanpa mengira agama dan warganegara perlu melindungi rambut mereka di tempat awam dan memakai pakaian longgar di bawah kot dipakai mereka.

Selepas berdekad lamanya, kod itu seringkali dilanggar, terutama di bandar besar, walaupun masih wujud operasi pematuhan dilaksanakan. – AFP, 25 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen