Guan Eng minta PM ganti Mustapa, Annuar


Kenaikan inflasi terutama harga makanan membebankan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 September, 2022.

RAKYAT Malaysia terpaksa menanggung lebih banyak beban kewangan sekiranya Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak menggantikan pengurus ekonomi dan pelawan inflasi yang gagal buat kerja, kata Lim Guan Eng.

Pengerusi DAP itu berkata kegagalan Menteri Ekonomi Mustapa Mohamad dan Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Annuar Musa menyebabkan kenaikan inflasi dan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

“Kegagalan Mustapa dalam menguruskan ekonomi dan Annuar dalam menangani inflasi menyebabkan Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan OPR yang menyebabkan peminjam perlu membayar kos faedah lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 8 September lepas, BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.5%.

Ini adalah kenaikan kali ketiga berturut-turut dibuat bank pusat itu.

Ia menaikkan OPR kepada 2% daripada 1.75% pada Mei, sebelum menaikan lagi 25 mata asas kepada 2.25% pada Julai.

Lim berkata memandangkan kenaikan OPR 2.5% dibuat sebelum data inflasi terbaru dikeluarkan pada Ogos, BNM kini dijangka terus menaikkan OPR pada November dan Januari tahun hadapan kepada 3%.

“Seterusnya mengenakan beban kewangan lebih berat kepada rakyat Malaysia dan perniagaan.”

Ahli Parlimen Bagan itu berkata sikap acuh tak acuh Mustapa terhadap beban kewangan ditanggung rakyat susulan kenaikan inflasi tahunan juga mengecewakan.

Tambahnya, kadar inflasi naik kepada tahap tertinggi dalam tempoh 16 bulan daripada 4.7% pada Ogos 2022 daripada 4.4% pada Julai, sementara kadar inflasi makanan naik 7.2% berbanding 6.9% pada Julai.

“Pengurusan lemah ekonomi kerajaan sangat mengecewakan.

“Selain gagal memeriksa kenaikan inflasi dan harga makanan yang masing-masing naik daripada 3.4% dan 6.1% pada Jun kepada 4.7% dan 7.2% pada Ogos.

“Annuar juga secara tidak bertanggungjawab memperkecilkan kejatuhan semasa nilai ringgit berbanding ASD sebagai hanya sementara.” – 24 September, 2022.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen