Profound Radiance Sdn Bhd dapat kontrak OSC ikut SOP, mahkamah diberitahu


MAHKAMAH Tinggi yang mendengar kes rasuah Ahmad Zahid Hamidi berhubung dana Yayasan Akalbudi (YAB) diberitahu bahawa Profound Radiance Sdn Bhd (PRSB) mengikuti setiap langkah dalam mendapatkan kontrak sebagai pengendali operasi Pusat Sehenti (OSC) di Pakistan dan Nepal, dengan teratur.

Bekas timbalan ketua setiausaha (dasar dan kawalan) Kementerian Dalam Negeri (KDN) Suriani Ahmad, 54, berkata segala prosedur PRSB untuk mendapatkan kontrak itu menepati Prosedur Operasi Standard (SOP) mana-mana syarikat untuk mendapatkan kontrak daripada kerajaan.

Katanya PRSB mula dilantik sebagai operator OSC di Nepal dan Pakistan apabila kebenaran syarikat untuk menjalankan OSC di Dhaka, Bangladesh bagi permohonan pemprosesan Visa Malaysia dibatalkan pada 11 November 2015.

“PRSB telah membuat satu surat rayuan kepada perdana menteri Najib Razak pada ketika itu bertujuan mempertimbangkan semula pembatalan yang telah dikenakan ke atas PRSB.

“Satu surat rayuan pertimbangan juga dikeluarkan kepada menteri dalam negeri Ahmad Zahid Hamidi ketika itu oleh PRSB,” katanya ketika membacakan pernyataan saksinya pada prosiding membela diri Ahmad Zahid.

Saksi pembelaan keempat itu berkata hasil daripada surat-surat berkenaan, Ahmad Zahid telah memanggil Shahril Ismail iaitu setiausaha bahagian (bahagian hal ehwal imigresen) di KDN dan satu mesyuarat diadakan bagi membincangkan rayuan yang dibuat oleh PRSB.

Suriani berkata beliau dan ketua setiausaha KDN Alwi Ibrahim ketika itu hadir pada mesyuarat berkenaan dan dalam perbincangan itu, Ahmad Zahid merujuk kepada minit surat daripada Najib yang menyatakan bahawa peluang kedua perlu diberikan kepada PRSB jika tiada kesalahan dilakukan.

“Hasil perbincangan tersebut mendapati masalah yang wujud adalah disebabkan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia masih tidak meluluskan PRSB untuk memulakan OSC di Dhaka dan bukannya kesilapan yang dilakukan oleh PRSB secara langsung. Jawatankuasa memutuskan untuk memberikan peluang kedua kepada PRSB untuk mengendalikan OSC di Pakistan dan Nepal,” katanya.

Bagi lapan tuduhan rasuah, Ahmad Zahid didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai menteri dalam negeri ketika itu bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport dan dilantik sebagai pengendali pusat sehenti visa migran, masing-masing di Pakistan dan Nepal.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dituduh melakukan perbuatan berkenaan di cawangan Maybank, Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar, antara 15 Julai 2016 hingga 15 Mac 2018, mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Terdahulu, prosiding mencabar kredibiliti saksi pembelaan ketiga iaitu Pengarah Syarikat Teknik Sempurna Sdn Bhd, Jefri Jamil bersambung 31 Oktober selepas mahkamah membenarkan permohonan peguam Hisyam Teh Poh Teik untuk menangguhkan prosiding bagi membolehkan pihaknya melakukan penyelidikan untuk menyediakan hujahan.

Hisyam berkata ini kali pertama beliau berhadapan dengan situasi dokumen yang telah diklasifikasikan sebagai sulit di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), dijadikan subjek dalam prosiding mencabar kredibiliti saksi.

“Sepanjang karier sebagai pengamal undang-undang, ini kali pertama isu (dokumen rahsia dijadikan subjek untuk mencabar kredibiliti saksi) dibangkitkan di mahkamah,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran berhujah pihak pendakwaan dan pembelaan tidak perlu terlibat dalam prosiding mencabar kredibiliti saksi.

Mengikut satu kes yang pernah diputuskan mahkamah sebelum ini, beliau berkata hanya hakim dan saksi terlibat dalam prosiding itu dan hakim akan meminta saksi menjelaskan mengapa wujud perbezaan di antara keterangan di mahkamah dan pernyataan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut Raja Rozela, mahkamah kemudian akan membuat keputusan pada akhir perbicaraan sama ada wujud percanggahan atau sebaliknya.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah jenayah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik YAB.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Sequerah bersambung 31 Oktober ini. – Bernama, 22 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen