1MDB akan ditutup selepas hutang habis dibayar, kata Irwan Serigar


Pengerusi 1MDB Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata hutang firma pelaburan negara itu akan dibayar daripada hasil yang diperolehi melalui beberapa projek mega kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Februari, 2018.

FIRMA pelaburan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) akan ditutup apabila semua hutangnya selesai, kata pengerusi syarikat Mohd Irwan Serigar Abdullah sebagaimana dilaporkan media.

Pada sidang akhbar di Universiti Malaysia Kelantan malam tadi, Irwan yang juga Ketua Setiausaha Perbendaharaan berkata hutang akan dibayar daripada hasil yang diperolehi melalui projek mega kerajaan seperti pembinaan bandar Tun Razak Exchange (TRX), Laluan Pantai Timur (ECRL) dan projek Transit Aliran Massa Kedua (MRT 2).

“Tidak lama lagi, penduduk yang memiliki tempat di bandar TRX akan membayar sewa, dan kami juga akan menjual plot tanah Bandar Malaysia yang akan dibangunkan dengan pengangkutan awam seperti kereta api berkelajuan tinggi, ECRL dan MRT,” kata Irwan yang dipetik sebagai berkata oleh akhbar Daily Straits Times.

“Melalui wang ini kita akan membayar hutang…hasil diperoleh bukan membabitkan sehari dua, sebaliknya akan memakan masa lebih 10 tahun untuk menjana pendapatan daripada pembangunan jangka panjang terbabit.

“Apabila hutang dibayar, tidak akan ada keperluan untuk 1MDB.”

1MDB adalah gagasan Perdana Menteri Najib Razak, yang juga menteri kewangan.

Syarikat itu terbelenggu dalam kontroversi dengan dakwaan sebanyak AS$4.5 bilion disalahgunakan oleh pegawai kanan dan individu yang dikaitkan dengan Najib.

Najib didapati menerima AS$700 juta dalam akaun peribadinya, didakwa daripada wang yang dikaitkan dengan 1MDB. Najib mendakwa wang itu adalah derma daripada kerabat Arab Saudi dan dibersihkan di Malaysia tanpa sebarang salah laku.

Terdahulu, Irwan berkata 1MDB, sama seperti syarikat lain yang ditubuhkan oleh kerajaan, tidak selamat daripada kemungkinan mengalami kerugian.

“Sudah tentu, ada syarikat yang untung dan rugi… apabila syarikat itu mengalami kerugian, ia akan ditutup, tetapi semua hutang perlu dibayar terlebih dahulu,” katanya.

Pada Disember, 1MDB membuat bayaran terakhir hutangnya sebanyak AS$1.2 bilion kepada International Petroleum Investment Co PJSC (Ipic) yang tarikh akhirnya 31 Disember.

1MDB dan IPIC menjalinkan hubungan pada 2012, apabila syarikat itu menjamin dua bon bernilai AS$1.75 bilion setiap satu kepada 1MDB untuk mendapatkan dana bagi membeli aset jana kuasa. Sebagai gantinya, 1MDB perlu membuat pembayaran cagaran kepada Ipic. – 28 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • tak dinafikan kerajaan perlu amek serius dgn gesaan masyarakat utk bersihkan imej kerajaan yg sedikit sebanyak terpalit dgn tuduhan2 negatif yg dilontarkan pd 1MDB

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan