6 kapal bawa bijirin berlepas dari pelabuhan Ukraine


Enam lagi kapal yang dijadualkan berlepas hari ini, meninggalkan pelabuhan Ukraine.– Gambar EPA, 19 September, 2022.

ENAM lagi kapal dijadualkan berlepas dari pelabuhan Ukraine untuk menghantar bekalan bijirin di bawah perjanjian bijirin Laut Hitam, lapor Sputnik, memetik Kementerian Pertahanan Turkiye pada Isnin.

“Sebagai sebahagian daripada perjanjian, enam lagi kapal yang dijadualkan berlepas hari ini, meninggalkan pelabuhan Ukraine,” menurut kementerian itu menerusi Twitter.

Pada 22 Julai, Rusia, Ukraine, dan Turkiye menandatangani inisiatif yang diselaraskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyediakan koridor maritim kemanusiaan untuk kapal yang mengeksport makanan dan baja dari pelabuhan-pelabuhan di Laut Hitam.

Tiga pelabuhan utama Ukraine – Odesa, Chornomorsk dan Yuzhne – telah dinyahsekat untuk menyambung semula eksport.

Pusat Koordinasi Bersama (JCC) yang berpangkalan di Istanbul ditubuhkan untuk memantau pelaksanaan inisiatif itu termasuk memastikan kapal kargo tidak membawa barangan atau petugas yang tidak dibenarkan.

Inisiatif oleh PBB itu merangkumi dua pakej dokumen. Pertama, memorandum yang menetapkan kewajipan PBB untuk menghapuskan pelbagai sekatan ke atas eksport produk pertanian dan baja Rusia ke pasaran global.

Sementara pakej kedua menjelaskan algoritma untuk eksport produk pertanian Ukraine dari pelabuhan Laut Hitam yang dikawal Ukraine.

Moscow menegaskan bahawa memorandum pertama inisiatif bijirin itu masih belum berlaku. – Bernama, 19 September, 2022.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen