Jangan guna senjata nuklear, Biden beri amaran kepada Putin


Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden memberi amaran kepada rakan sejawatnya dari Russia, Vladimir Putin supaya tidak menggunakan senjata nuklear dalam perang di Ukraine. – Gambar EPA, 17 September, 2022.

PRESIDEN Amerika Syarikat, Joe Biden memberi amaran kepada rakan sejawatannya dari Russia Vladimir Putin supaya tidak menggunakan senjata nuklear atau kimia berikutan kekalahan teruk dalam perangnya di Ukraine.

“Jangan. Jangan. Jangan,” kata Biden dalam sesi temu bual dalam rancangan “60 Minutes” yang disiarkan stesen TV CBS, hari ini.

Biden mengulas pertanyaan hos rancangan tersebut mengenai kemungkinan Putin – selepas tenteranya mengalami kekalahan besar dalam serangan balas Ukraine bulan ini – akan menggunakan senjata nuklear atau kimia.

“Anda akan mengubah wajah perang tidak seperti apa berlaku sejak Perang Dunia II,” kata Biden.

“Mereka akan menjadi lebih ‘pariah’ di dunia, lebih daripada yang pernah mereka lakukan,” tambah pemimpin AS itu.

Ukraine menawan semula wilayah di timur negara itu daripada diduduki tentera Russia dalam beberapa minggu kebelakangan ini, didorong senjata berat yang dibekalkan sekutunya dari Barat.

Malah Moscow menghadapi kemarahan baharu dari Barat selepas penemuan kubur besar-besaran di luar bandar Izyum yang dahulunya diduduki Russia, di mana, pegawai Kiev berkata, hampir semua mayat yang digali menunjukkan tanda-tanda penyeksaan.

Namun, Putin tetap berkeras mengatakan perang terhadap jirannya yang bersama Barat itu berjalan mengikut rancangan.

“Pelan itu tidak akan berubah,” kata Putin, semalam.

“Operasi serangan kami di Donbas sendiri tidak berhenti. Mereka berjalan dengan perlahan… Tentera Russia sedang menduduki lebih banyak wilayah baharu.” – 17 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen