Pulau Pinang batal darjah kebesaran negeri Najib


Pulau Pinang membatal dan memansuhkan gelaran kehormat yang diberikan kepada bekas perdana menteri Najib Razak berkuat kuasa hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September, 2022.

PULAU Pinang membatal dan memansuhkan gelaran kehormat yang diberikan kepada bekas perdana menteri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara. 

Dalam satu kenyataan, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Pulau Pinang Mohd Zakuan Zakaria berkata pembatalan anugerah Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN) Najib berkuat kuasa hari ini.

“Ini berikutan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan kepada Najib,” katanya.

Isnin lalu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengumumkan baginda membatalkan dua gelaran yang dianugerahkan kepada Najib dan isterinya Rosmah Mansor.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan Pendaftar Anugerah Haris Kasim berkata selepas berunding dengan ahli Majlis Diraja Selangor, baginda berkenan menarik balik anugerah itu daripada tiga individu.

Beliau berkata pembatalan anugerah itu dilakukan selepas Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mempengerusikan mesyuarat khas Dewan Diraja Selangor di Dewan Diraja, Istana Alam Shah di Klang.

Beliau berkata Najib dilucutkan gelaran Datuk dan Datuk Seri; Rosmah, gelaran Datin Paduka Seri.

Haris berkata pembatalan anugerah adalah selaras dengan kuasa prerogatif sultan di bawah perkara XXXVII dan perkara XXXIX Perlembagaan Selangor serta status kebesaran dan konvensyen yang diamalkan di Selangor.

Pada Oktober 2018 istana Negeri Sembilan melucutkan gelaran yang dikurniakan kepada Najib dan Rosmah.

Bulan lalu Mahkamah Persekutuan dalam keputusan sebulat suara membatalkan rayuan Najib dan mengekalkan hukumannya dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Mahkamah tertinggi memerintahkan beliau memulakan hukuman penjara 12 tahun serta-merta.

Mahkamah juga menjatuhkan hukuman denda RM210 juta atau tambahan lima tahun penjara jika gagal membayarnya.

Rosmah didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi pada 1 September. – 15 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen