Ramai petani diancam muflis kerana tanah sawah jerlus, kata PKR


Ramai petani di utara Semenanjung berdepan risiko bankrap susulan kejadian tanah jerlus yang akan memberi kesan besar ke atas jaminan kecukupan makanan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September, 2022.

PIHAK berkuasa pertanian perlu bertindak segera ke atas kes tanah jerlus yang semakin berleluasa di kawasan bendang khususnya di utara Semenanjung, kata Ahli Parlimen Kuala Kedah Azman Ismail.

Katanya ramai petani berdepan risiko bankrap dan fenomena tersebut juga akan memberi kesan besar ke atas jaminan kecukupan makanan negara.

“Jika tidak dibantu segera dengan berkesan oleh kerajaan, ramai petani akan muflis selain dari terus menderita. Semua ini akan mengancam pengeluaran makanan negara di waktu yang kritikal seperti sekarang,” katanya.

Pengerusi biro tani PKR itu berkata, petani tersebut sudahpun menderita kerana peningkatan tinggi kos pertanian, kenaikan kos sara hidup dan berbagai tekanan ekonomi.

“Para petani yang terlibat secara umumnya mengalami kurang pendapatan sehingga 30%. Mereka juga akan terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk memulihkan tanah sawah mereka,”

Jelasnya, beliau menerima laporan tanah jerlus yang merosakkan sawah dan menyebabkan padi tidak dapat dituai itu berlaku di pelbagai tempat di Perlis,Kedah dan Seberang Perai ekoran hujan berterusan.

Tinjauannya mendapati ia meliputi 100 dari 400 relung sawah di Kampung Kubang Siam, Kedah dan hampir 500 hektar di Bohor Karang, Perlis, kata Azman dalam kenyataannya.

Katanya lagi, tanah jerlus tersebut perlu ditangani dengan bantuan teknikal seperti perparitan, penggunaan kapur (hydrated lime) dan penggunaan jentera yang lebih ringan.

“Hendaklah dicari penyelesaian jangka panjang supaya isu tanah jerlus ini tidak berulang.

“Untuk maksud menyelamatkan para petani yang terjejas,bantuan tunai dalam jumlah yang munasabah juga hendaklah dihulurkan segera,” katanya.

Beliau menggesa tindakan tersebut dijalankan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta agensi seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Muda. – 15 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen