Edar dadah: Peniaga terlepas hukuman gantung 


SEORANG peniaga alat ganti kenderaan terlepas hukuman gantung apabila Mahkamah Tinggi di Kota Bharu, hari ini melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar 342.3 gram methamphetamine empat tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Abazafree Mohd Abbas membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh Wan Muhammad Azlan Wan Mahamod, 34.

Mohamad Abazafree dalam penghakimannya berkata mahkamah mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah menerusi isu berkaitan akses bilik tertuduh, kehadiran orang lain di kediaman tertuduh dan kewujudan sebuah kereta jenis Proton Satria di lokasi serbuan milik orang lain.

“Tertuduh telah membuat pembelaan dengan keterangan bersumpah. Dalam keterangannya dari peringkat awal pendakwaan, seorang lelaki bernama Mohd Harif Mohd Azmi telah datang tidur di bilik tertuduh sebelum kediaman itu diserbu polis,” katanya.

Wan Muhammad Azlan didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup. Jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 15 kali.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di dalam bilik di sebuah rumah di Kampung Kepas, Jalan Banggol Jering, Pasir Mas lebih kurang 4.10 pagi pada 2 September 2018.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Norazlinawati Mohd Arshad manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Nizam Mohamed.– Bernama, 11 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen