Najib fail semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan


Najib sifatkan haknya untuk mendapatkan pendengaran rayuan dinafikan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 September, 2022.

NAJIB Razak hari ini memfailkan permohonan bagi menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya kerana menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd.

Bekas perdana menteri itu memfailkan notis usul bagi permohonan tersebut melalui Tetuan Shafee & Co dan menamakan pendakwa raya sebagai responden.

Perkara itu disahkan oleh peguam Rahmat Hazlan.

Ahli Parlimen Pekan itu memohon agar beliau diberi kebenaran menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lepas yang menolak rayuannya dan mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atau penjara lima tahun jika gagal bayar.

Beliau turut memohon perintah agar keputusan Mahkamah Persekutuan pada hari sama yang menolak permohonannya untuk menggugurkan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat daripada terus mendengar rayuan itu diketepikan.

Secara alternatif Najib memohon agar rayuan itu didengar semula oleh korum Mahkamah Persekutuan yang baharu dan terdiri sekurang-kurangnya daripada tujuh hakim.

Beliau turut memohon perintah agar keputusan Mahkamah Persekutuan pada 16 Ogos lepas yang menolak permohonannya untuk mengemukakan bukti tambahan dan menggugurkan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bagi perbicaraan di Mahkamah Tinggi serta membatalkan perbicaraan itu atau diisytiharkan batal dan tidak sah diketepikan.

Najib yang kini menjalani hukuman di Penjara Kajang juga memohon penangguhan pelaksanaan sabitan dan hukuman sementara menunggu pendengaran permohonan semakan itu.

Afidavit Najib yang difailkan bagi menyokong permohonan itu menyatakan bahawa beliau benar-benar percaya dan telah dinasihatkan oleh peguam caranya bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan boleh disemak mengikut Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

“Ini kerana saya telah dinafikan hak untuk mendapatkan pendengaran rayuan yang adil seperti diperuntuk oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – Bernama, 6 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen