Kritikan PAS kontang idea, kata wakil rakyat DAP


PAS berdiam diri dalam skandal korupsi dan kleptokrasi rakan politik serta pelbagai isu nasional lain tetapi sibuk mengecam konsert artis, kata Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii.

KRITIKAN PAS kepada konsert artis barat di Malaysia hanyalah untuk melindungi ketidakcekapan pemimpin kerajaan dalam menguruskan isu sebenar yang menjejaskan rakyat Malaysia, kata Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii.

Mengulas amaran Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari tentang penganjuran konsert yang didakwanya “hanya akan mengundang kemurkaan Allah”, Yii berkata kenyataan itu jelas menunjukkan yang parti Islam itu kontang idea.

“Ketika rakyat Malaysia dibelenggu dengan peningkatan kos sara hidup dan kelembapan ekonomi, PAS hanya pedulikan untuk menjadi ‘polis moral’ orang lain dan cuba mencampuri hak rakyat Malaysia yang dilindungi Perlembagaan Persekutuan.

“PAS perlu mengakui dan menghormati yang rakyat Malaysia boleh berfikir dan menilai sendiri sebarang bentuk hiburan untuk diri mereka, dan nasib negara terletak kepada tadbir urus dan dasar yang baik, bukannya jumlah konsert yang kita ada,” kata ketua Pemuda DAP itu dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut membangkitkan yang parti Islam itu langsung tiada kritikan membina untuk menangani “kemarahan sebenar” rakyat Malaysia – korupsi terang-terangan, tadbir urus buruk, ketidaksaksamaan, diskriminasi, undang-undang menekan, serta ugutan kepada pihak tertentu termasuk ahli kehakiman negara.

Wakil rakyat DAP itu juga mempersoalkan mengapa PAS hanya berdiam diri dalam isu tadbir urus dan dasar tetapi memilih untuk menggunakan “retorik memecahkan” yang mewujudkan kemarahan dalam masyarakat pelbagai kaum dan budaya di Malaysia.

Tambah Yii lagi, sikap berdiam diri PAS terhadap rakan politiknya dalam kerajaan yang terlibat dan skandal korupsi dan kleptokrasi juga sangat mengecewakan.

“Sebab ini lah sepatutnya tidak ada tempat untuk PAS berkuasa di negara kita di mana mereka boleh mempengaruhi dan membentuk dasar kebangsaan yang boleh memberi kesan kepada kita semua termasuklah anak-anak kita,” katanya.

Ahmad yang juga ahli Parlimen Pasir Mas, sebelum ini membuat kritikan terhadap konsert penyanyi Amerika Billie Eilish di Stadium Bukit Jalil pada Khamis lepas di Facebooknya. – 20 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen