Australia umum bantuan tambahan AS$25 juta kepada Sri Lanka


Menteri Luar Penny Wong dalam satu kenyataan semalam berkata Australia akan bersama-sama rakyat Sri Lanka, terutamanya mereka yang mengalami kesukaran yang teruk.– Gambar EPA, 20 Ogos, 2022.

AUSTRALIA umum bantuan tambahan bernilai AS$25 juta kepada Sri Lanka pada Jumaat, lapor Agensi Anadolu.

Menteri Luar Penny Wong dalam satu kenyataan berkata bantuan itu akan digunakan untuk memenuhi keperluan makanan dan tujuan penjagaan kesihatan yang mendesak di negara Asia Selatan itu.

Sri Lanka kini berdepan krisis ekonomi terburuk dalam tempoh 70 tahun.

“Dalam tempoh yang mencabar ini, Australia akan bersama-sama rakyat Sri Lanka, terutamanya mereka yang mengalami kesukaran yang teruk,” kata Wong.

Australia setakat ini telah menyalurkan bantuan AS$75 juta melalui agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi membantu negara itu menyediakan perkhidmatan makanan, kesihatan, akses kepada bekalan air bersih, dan sokongan penting bagi mereka yang berisiko, termasuk wanita dan kanak-kanak, menurut kenyataan itu.

Sri Lanka lumpuh akibat kekurangan rizab pertukaran asing selepas ekonominya yang banyak bergantung kepada sektor pelancongan terjejas teruk, negara dengan 22 juta penduduk itu telah gagal membayar semua hutang asingnya.

Ia tidak mampu membayar harga makanan, bahan api dan keperluan lain, dan kekurangan bahan api  menyebabkan bekalan elektrik terputus setiap hari. 

Sekolah telah ditutup, dan kakitangan kerajaan telah diminta bekerja dari rumah. – Bernama, 20 Ogos, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen