Saman RM1.9 juta: Permohonan Najib bantah 2 peguam wakili Tommy Thomas ditolak 


Sebelum ini, bekas perdana menteri Najib Razak memohon untuk membatalkan pelantikan dua peguam daripada Tetuan Tommy Thomas bagi mewakili bekas peguam negara Tommy Thomas dalam kes saman RM1.9 juta yang difailkan beliau.– Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Ogos, 2022.

MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Najib Razak untuk membatalkan pelantikan dua peguam daripada Tetuan Tommy Thomas bagi mewakili bekas peguam negara Tommy Thomas dalam kes saman RM1.9 juta yang difailkan bekas perdana menteri itu.

Hakim Ahmad Bache dalam penghakimannya berkata adalah biasa terutamanya dalam common law dan menjadi amalan, pihak litigan mempunyai hak untuk memilih peguamnya sendiri.

Beliau berkata Peguam Negara (AG) sekarang, Idrus Harun telah memberi keizinan atau fiat kepada dua peguam, Alan Adrian Gomez dan Mervyn Lai Wei Shiung pada 29 Julai lepas untuk mewakili Thomas walaupun Thomas telah disaman atas kapasitinya sebagai pegawai kerajaan pada masa itu, yang biasanya akan diwakili oleh peguam kanan persekutuan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).

“AG sekarang mesti mempertimbangkan semua keperluan yang diharapkan daripada kedua-dua peguam yang mewakili Thomas, sebelum memberikan keizinan atau fiat, termasuk keupayaan mereka untuk bertindak secara profesional dan demi kepentingan keadilan,” katanya semasa prosiding dalam talian hari ini.

Dalam permohonan membantah pelantikan kedua-dua peguam itu, Najib mempersoalkan sama ada mereka akan dapat mengekalkan kebebasan profesional mereka dan bertindak secara objektif dalam saman yang difailkan pada 22 Oktober tahun lepas bagi pengisytiharan bahawa Thomas telah melakukan misfeasans dalam jawatan awam berhubung tuduhan jenayah yang dikenakan terhadapnya.

Ahli Parlimen Pekan itu yang menamakan Thomas dan kerajaan, masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua mendakwa pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada perbuatan yang dirancang lebih awal oleh Thomas dan selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

Thomas yang meletak jawatan sebagai Peguam Negara pada 28 Februari 2020, merupakan pengasas dan konsultan atau rakan kongsi firma guaman itu manakala rakan kongsinya juga memiliki kepentingan kewangan dalam firma itu.

Sementara itu, mengenai hujah bahawa terdapat kepentingan peribadi dan kewangan yang terlibat antara peguam dan firma itu, hakim memutuskan bahawa mereka tidak mempunyai hubungan dalam pertikaian antara Najib dan Thomas.

“Ia tidak dibuktikan mengenai kepentingan peribadi dan kewangan dalam afidavit sokongan Najib.

“Daripada afidavit jawapan defendan, ia mengesahkan bahawa kedua-dua peguam mahupun rakan kongsi atau sekutu firma yang lain tidak terlibat dalam pendakwaan plaintif, justeru, tidak mungkin mereka akan menjadi saksi,” kata hakim.

Hakim itu berkata walaupun Thomas merupakan pengasas firma itu, beliau bukan lagi rakan kongsi malah hanya seorang perunding yang tidak menikmati sebarang keuntungan kerana tidak mempunyai sebarang saham dalam firma itu.

“Beliau (Thomas) tidak mempunyai sijil amalan pun setelah dibatalkan berikutan pelantikannya sebagai Peguam Negara. Oleh itu, tiada kepentingan kewangan antara firma dan Thomas.

“Mahkamah mendapati tiada bantahan serupa yang dibangkitkan oleh Najib dalam satu lagi saman yang difailkan olehnya (Najib) terhadap Thomas di Mahkamah Tinggi Shah Alam, adalah jelas Najib mengambil pendirian yang tidak konsisten dan kini dihalang daripada membuat permohonan ini pada peringkat ini,” katanya.

Beliau seterusnya berkata tidak akan ada prejudis terhadap Najib kerana kelakuan kedua-dua peguam itu akan diawasi oleh mahkamah, oleh itu mahkamah tidak seharusnya bersetuju dengan permohonan untuk membatalkan pelantikan kedua-dua mereka.

Beliau berkata tiada bukti yang meyakinkan untuk menunjukkan bahawa kedua-dua peguam itu tidak akan dapat mengekalkan kebebasan profesional dan bertindak secara objektif dan demi kepentingan keadilan.

“Permohonan untuk menggugurkan dua peguam daripada Tetuan Tommy Thomas untuk mewakili Thomas ditolak dengan kos RM3,000,” kata hakim dan menetapkan 9 September untuk mendengar permohonan defendan untuk membatalkan saman Najib.– Bernama, 19 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen