Kerajaan lulus peruntukan RM6.3 bilion untuk Selangor, kata PM 


Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan turut mengambil langkah proaktif merencana pendekatan baharu termasuk pembinaan infrastruktur yang bersesuaian.– Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Ogos, 2022.

KERAJAAN meluluskan peruntukan sebanyak RM6.3 bilion bagi pelaksanaan pembangunan infrastruktur dan fasiliti penyampaian perkhidmatan di Selangor di bawah Rancangan Boleh Pinda Kedua Tahun 2022 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Ketika mengumumkan perkara itu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata antara projek penting yang akan dilaksana ialah lima projek tebatan banjir dengan peruntukan sebanyak RM4.7 bilion.

“Usaha ini akan disegerakan bagi mengelakkan kejadian banjir teruk yang menjejaskan kesejahteraan penduduk, ekonomi negeri dan negara berulang lagi.

“Kita tahu di penghujung tahun lepas, banjir besar berlaku di Selangor seperti di Shah Alam, Hulu Langat dan sebagainya… dengan projek tembatan banjir ini, kita percaya banjir besar itu dapat kita elakkan,” katanya ketika berucap merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Selangor di Shah Alam hari ini. 

Beliau berkata kerajaan turut mengambil langkah proaktif merencana pendekatan baharu termasuk pembinaan infrastruktur yang bersesuaian dan lebih lestari serta menyeluruh di negeri itu.

Perdana Menteri berkata selain itu, usaha menyediakan perumahan kepada Keluarga Malaysia terutama kumpulan B40 dan M40 terus menjadi agenda penting kerajaan.

Beliau berkata selaras dengan aspirasi Satu Keluarga Satu Rumah, sebanyak 14,329 buah kediaman di Selangor siap dibina setakat Jun lepas menerusi pelbagai program seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM).

Ismail Sabri turut mengucapkan tahniah kepada dua anak kelahiran Selangor iaitu pemain badminton M. Thinaah yang berjaya merangkul dua pingat emas menerusi acara berpasukan campuran dan beregu wanita serta pemain ping pong Javen Choong yang meraih perak dalam acara beregu campuran di temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022. – Bernama, 19 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen