China beri penekanan usaha inovasi kendiri, kata Xi 


Presiden Xi Jinping turut menyifatkan golongan belia yang cergas dan penuh semangat sebagai harapan kepada pembangunan perusahaan. – Gambar EPA, 19 Ogos, 2022.

PRESIDEN China, Xi Jinping menyifatkan inovasi kendiri serta pewujudan persekitaran kondusif penting bagi memacu pembangunan negara.

Beliau berkata demikian ketika melawat Syarikat Siasun Robot dan Automasi Berhad Shenyang di provinsi Liaoning pada Rabu.

Di samping itu beliau turut menekankan perlunya usaha digandakan untuk menaik taraf sektor perindustrian menerusi inovasi, sekali gus menggalakkan transformasi negara menjadi gergasi ekonomi dan pembuatan.  

“Berdepan kebangkitan arus yang bertentangan dengan globalisasi ekonomi serta fahaman perlindungan buat masa ini, kita mesti terus mengekalkan keterbukaan demi menjana pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata adalah penting untuk mempercepat pembentukan paradigma pembangunan baharu dengan menjadikan kitaran domestik sebagai tonggak utama serta kitaran domestik dan kitaran antarabangsa yang saling menggalakkan.

“Kita mesti terus menempuh jalan pembangunan berlandaskan inovasi berdikari ke arah membangunkan negara sosialis moden yang kuat dan merealisasikan Matlamat 100 Tahun yang kedua,” tambah Xi.

Beliau berkata usaha perlu diperkasakan untuk mencapai kemandirian serta pengukuhan diri dalam bidang sains dan teknologi, di samping memastikan teknologi teras dan industri pembuatan peralatan dibangunkan sendiri.

Xi turut menyifatkan golongan belia yang cergas dan penuh semangat sebagai harapan kepada pembangunan perusahaan.

Justeru, beliau mahu persekitaran yang baik diwujudkan untuk merangsang daya inovasi dan kreativiti belia, menggalakkan mereka berani melakukan inovasi dalam pelbagai bidang, sekali gus menyumbang kepada pembangunan kawasan timur laut China pada era baharu. – Bernama, 19 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen