Malaysia laksana polisi pengurusan kenderaan akhir hayat menjelang 2025


Menurutnya 70 peratus barang dileraikan daripada ELV boleh dieksport ke negara lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Ogos, 2022.

MALAYSIA sedang mengkaji pendekatan sesuai bagi melaksanakan polisi pengurusan kenderaan akhir hayat atau end-of-life vehicle (ELV) menjelang 2025.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Dr Adham Baba berkata pembangunan polisi berkenaan adalah penting supaya kenderaan yang sudah berakhir jangka hayat boleh dimanfaatkan.

“Lambakan kenderaan usang hingga menjadi punca wabak denggi dipercayai berlaku kerana masih belum ada polisi yang membolehkan tindakan sewajarnya diambil dengan penekanan diberikan kepada kaedah pelupusan yang tepat,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman  (MoU) antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang mewakili Konsortium Penyelidikan ELV dan Malaysia Automotive Recyclers Association (MAARA).

Menurut Dr Adham dalam merangka pelan hala tuju ELV yang sesuai, Malaysia melihat kepada Singapura dan Jepun yang telah mempunyai kepakaran dalam mengitar semula ELV.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU berkenaan beliau berkata 70 peratus barang dileraikan daripada ELV boleh dieksport ke negara lain dan industri ini berpotensi mencecah RM10 bilion.

Katanya berdasarkan data kementerian pengangkutan sehingga Mei 2022 jumlah kenderaan berdaftar di Malaysia ialah 33 juta, dengan 19 juta daripadanya adalah kenderaan berusia 10 tahun ke atas.

Mengenai MoU yang ditandatangani hari ini Dr Adham berkata Konsortium Penyelidikan ELV yang melibatkan tiga universiti iaitu UTM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bekerjasama dengan pihak industri iaitu MAARA dalam menyelesaikan permasalahan kenderaan akhir hayat secara mengitar semula bahan komponen ELV atau mengolah satu produk lain.

MoU yang dimeterai bertujuan mengumpul maklumat dan pengetahuan mengenai pembuatan semula dan kitar semula, memupuk kerjasama antara industri dan ahli konsortium melalui penyelidikan dan program latihan serta membangunkan pelan pembuatan semula dan kitar semula bagi menyokong Dasar Automotif Nasional 2020.

Ditanya mengenai kenderaan elektrik (EV) Dr Adham berkata menjelang 2025 Malaysia menyasarkan untuk mewujudkan 10,000 stesen pengecas di seluruh negara berbanding 700 stesen pada masa ini.

“Selain itu industri pembangunan bateri (untuk kenderaan EV) perlu diselaraskan dengan penggunaan EV supaya dapat membuka peluang pekerjaan kepada golongan B40,” katanya.

Sementara itu Naib Canselor UTM Ahmad Fauzi Ismail dalam ucapannya berkata 99 peratus daripada komponen kenderaan yang layak dilupus dapat digunakan semula.

Presiden MAARA Datuk Khan Mohd Akram Khan pula berkata MAARA kini mempunyai 200 ahli terdiri daripada pemain dalam industri ELV yang bersedia mengeksport bahagian yang boleh dikitar semula dari kenderaan yang sudah tamat hayat. – Bernama, 12 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen