Najib patut berhenti kelirukan rakyat, kata Mat Sabu dan Chin Tong


Gambaran artis menunjukkan KD Maharaja Lela, kapal utama dalam kontrak kapal tempur kerajaan dengan BNS. Malaysia membayar lebih RM6 bilion tetapi masih belum terima sebuah kapal pun sejak 10 tahun lalu. – Gambar Naval Group, 9 Ogos, 2022.

BEKAS menteri pertahanan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan timbalannya menggesa Najib Razak supaya berhenti daripada mengelirukan rakyat mengenai projek kapal tempur pesisir (LCS) yang terbengkalai.

Mohamad Sabu dan Liew Chin Tong mengulas naratif bekas perdana menteri kononnya projek itu tergendala kerana kerajaan PH menangguhkannya pada September 2019 dan seterusnya kerana pandemik Covid-19.

“Kedua-dua kenyataan ini tidak benar sama sekali dan hanya bertujuan untuk mengelirukan rakyat,” kata mereka dalam kenyataan bersama.

Kenyataan mereka hari ini adalah yang ketiga sejak Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengeluarkan laporan minggu lalu mengenai perolehan kapal peronda generasi kedua LCS di bawah Kementerian Pertahanan.

Menurut Mohamad dan Liew, garis masa perolehan itu menunjukkan pentadbiran PH bukan punca kelewatan.

Malah, reka bentuk terperincinya pun, yang sepatutnya siap pada hujung 2016, sampai hari ini belum siap, kata mereka.

Sebuah pihak ketiga yang sepatutnya mengesahkan reka bentuk terperinci itu juga belum dibayar, tambah mereka.

“Memandangkan detailed design yang sepatutnya dimuktamadkan pada November 2016 hanya siap lebih kurang 80% dan Naval Group belum lagi dibayar, maka pengumuman Hishammuddin di Dewan Negara semalam LCS kapal pertama ‘akan siap dalam satu atau dua tahun’ langsung tidak realistik,” kata mereka. – 9 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen