Perikatan takkan berani tarik balik sokongan, kata ketua pemuda Umno


Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata mustahil PN dan Bersatu menarik balik sokongan sekali gus mencetus PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Ogos, 2022.

PERIKATAN Nasional (PN) dan Bersatu tidak akan berani menarik balik sokongan mereka kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, kata Asyraf Wajdi Dusuki.

Ketua pemuda Umno itu berkata, ini kerana terdapat laporan mendakwa ahli Parlimen Gombak dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali dikatakan dipersetujui Bersatu sebagai calon tunggal untuk jawatan timbalan perdana menteri.

“Mustahil Bersatu dan PN berani menarik balik sokongan dan mencetuskan PRU15 hanya kerana Azmin,” katanya dalam catatan Facebook hari ini.

Dalam laporan Malaysiakini, portal yang memetik sumber itu melaporkan Azmin dicalonkan sebagai calon TPM.

Asyraf bagaimanapun mempersoalkan keperluan jawatan itu diisi ketika pilihan raya semakin hampir.

“Apa perlunya timbalan perdana menteri memandangkan kabinet terdiri daripada 70 menteri dan timbalan menteri termasuk empat menteri kanan?

“Apa faedah jawatan ini kepada rakyat di saat kewangan negara sedang bergelut dan rakyat berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi?

“Adakah rakyat bersetuju untuk membebankan lagi kewangan negara dengan memenuhi tuntutan PN untuk jawatan TPM?” soalnya.

Laporan media mengaitkan desas-desus mengenai hasrat PN untuk menarik balik sokongan susulan kegagalan Ismail Sabri melantik timbalan perdana menteri daripada Bersatu, syarat yang ditetapkan dalam MoU.

Naib Presiden Umno itu sepatutnya bertemu delegasi PN untuk membincangkan dakwaan pelanggaran perjanjian tetapi mesyuarat itu dibatalkan pada saat-saat akhir.

Pertemuan itu bertujuan membincangkan rasa tidak senang PN terhadap perdana menteri dalam pelaksanaan terma perjanjian kerjasama politik antara mereka, termasuk mengenai pelantikan timbalan perdana menteri daripada Bersatu.

Menjawab khabar angin PN akan menarik balik sokongan Ismail Sabri berkata, Malaysia akan mengadakan pilihan raya jika PN keluar daripada gabungan pemerintah.

“Jika sokongan itu (PN) ditarik balik, maka pilihan raya mesti diadakan segera,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2022 di Serdang.

Ismail Sabri juga berkata, beliau menyedari desas-desus PN bercadang untuk menarik balik sokongannya kepada kerajaan.

“Saya sedar perkara ini. Kita hidup dalam negara demokrasi jadi sesiapa pun bebas untuk berkata-kata.

“Apa yang penting kita mesti bersedia tanpa mengira keadaan,” katanya. – 7 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen