Waris Fajim Juffa layak terima bantuan Perkeso


Pesawat ringan jenis Piper PA-28-161 Warrior II terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah, Medan Gopeng di Perak. – Gambar Bomba Perak, 6 Ogos, 2022.

WARIS Allahyarham Fajim Juffa Mohd Mustafa Kamal, jurulatih penerbangan yang terkorban dalam nahas pesawat ringan di Ipoh, Perak pada 1 Ogos lalu, layak menerima bantuan faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Perkeso dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Fajim Juffa menerusi warisnya layak menerima bantuan faedah orang tanggungan (FOT) dan faedah pengurusan mayat (FPM) menerusi skim bencana pekerjaan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) memandangkan nahas itu berlaku ketika Allahyarham sedang menjalani latihan penerbangan malam.

Kenyataan itu menyebut, Ketua Eksekutif Perkeso Mohammed Azman Aziz Mohammed menyantuni waris juruterbang yang juga seorang pesara Tentera Udara Diraja Malaysia serta menyampaikan kedua-dua bantuan faedah berkenaan.

“Waris menerima bayaran FPM sebanyak RM2,000 untuk sekali bayar pada 3 Ogos lalu, manakala bayaran FOT sebanyak RM3,555 setiap bulan akan disalurkan kepada balunya (Hayati Nawi, 50) untuk seumur hidup dan anaknya (Fatini Nadia Qistina Fajim Juffa, 17) sehingga usia 21 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama.

“Menjadi harapan Perkeso bantuan faedah ini dapat sedikit sebanyak membantu meringankan beban dan memberi semangat kepada waris dan keluarga Allahyarham untuk meneruskan kehidupan,” maklum kenyataan itu.

Dalam nahas pada kira-kira jam 8 malam itu, Fajim Juffa, 52, terkorban apabila pesawat ringan jenis Piper PA-28-161 Warrior II dikendalinya terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah, Medan Gopeng di Perak. – Bernama, 6 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen