Kerajaan digesa perjelas perolehan Littoral Combat Ship di Parlimen


Pemimpin Pakatan Harapan Mohamad Sabu (tengah) dan Liew Chin Tong (kiri) menggesa menteri pertahanan dan menteri kewangan menjawab di Parlimen berhubung laporan PAC mengenai perolehan Littoral Combat Ship.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Ogos, 2022.

MENTERI pertahanan dan menteri kewangan mesti menjawab di Parlimen berhubung laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai perolehan Littoral Combat Ship (LCS), kata bekas menteri pertahanan dan timbalannya.

Dalam satu kenyataan bersama, Mohamad Sabu dan Liew Chin Tong berkata Dewan Rakyat dan Dewan Negara perlu dibenarkan sekurang-kurangnya satu hari untuk membahaskan Laporan PAC.

“Memandangkan sidang Dewan Rakyat berakhir hari ini, kami ingin mencadangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri, yang merupakan mantan menteri pertahanan, untuk bersetuju dengan sidang khas satu hari pada awal bulan September demi mencari penyelesaian kepada isu perolehan LCS,” kata mereka hari ini.

Difahamkan, Mohamad dan Liew juga akan menulis surat kepada Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim untuk memperuntukkan masa sehari semasa persidangan dari 8 hingga 16 Ogos untuk perbahasan Laporan PAC.

PAC hari ini dalam laporannya berkata usaha wajar kerajaan terhadap Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) telah gagal mengesan kelemahan kewangan syarikat.

“Hal ini dibuktikan apabila kerajaan terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion kepada syarikat BNS, bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 5 Tahun 2007 yang berkuatkuasa ketika itu,” kata PAC dalam satu kenyataan.

“Kedudukan kewangan syarikat BNS adalah lemah dan kritikal disebabkan salah guna kuasa dan kepincangan dalam pengurusan kewangan. Setakat tahun 2018, hutang syarikat BNS kepada pihak pengeluaran produk tulen (OEM) adalah sebanyak RM801 juta manakala pinjaman syarikat BNS dengan institusi kewangan adalah sebanyak RM956 juta.”

Menurut PAC, BNS telah telah melantik dua syarikat lain untuk membeli peralatan daripada OEM, menyebabkan kos pembelian bertambah berkali ganda.

PAC hari ini membentangkan laporan berhubung perolehan kapal LCS oleh TLDM yang dilaksanakan oleh BNS. Walaupun kerajaan telah membayar RM6.083 bilion, tiada satu pun kapal LCS telah dihantar.

Mengikut jadual asal, lima kapal LCS sepatutnya dihantar ke Mindef menjelang Ogos 2022.

Menurut PAC, terma dan syarat kontrak LCS tidak memihak kepada kerajaan kerana bayaran untuk projek itu adalah berdasarkan pembangunan dan perolehan item dan bukannya kemajuan sebenar kapal LCS.

Mengulas lanjut, Liew dan Mohamad menegaskan bahawea mereka bersetuju dengan cadangan PAC bahawa “Laporan JKSTUPKK berhubung Perolehan Enam Buah Second Generation Patrol Vessel (SGPV), Berkeupayaan Littoral Combatant Ship (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia, Kementerian Pertahanan Malaysia” dinyahklasifikasikan sepenuhnya.

Mereka turut melahirkan rasa kecewa dengan bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas menteri pertahanan Ahmad Zahid Hamidi kerana mengabaikan nasihat panglima Tentera Laut ketika itu mengenai perolehan.

Bekas panglima Tentera Laut, Dr Abdul Aziz Jaafar sebelum ini mengkritik proses itu. Bagaimanapun kenyataan Aziz diklasifikasikan.

“Kerajaan perlu menjawab secara telus kepada Parlimen dan rakyat mengenai hala tuju projek LCS.

“(Menteri pertahanan) Hishammuddin (Hussein) dan kerajaan mesti memberi keterangan yang telus dan jelas, dan menjaminkan tiada penyelewengan dana yang akan membawa kemudaratan,” tambah mereka. – 4 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen