Malaysia sedia bantu India penuhi permintaan sawit, kata Zuraida


Dasar Indonesia membabitkan eksport minyak sawit telah mengakibatkan ketidaktentuan pasaran di negara pengimport seperti India. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Ogos, 2022.

MALAYSIA bersedia memenuhi permintaan India ke atas minyak sawit berikutan jangkaan bekalan yang tidak menentu dari Indonesia akibat perubahan dasar eksport minyak sawit, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, dalam tempoh kurang daripada setahun, dasar Indonesia membabitkan eksport minyak sawit telah mengakibatkan ketidaktentuan pasaran di negara pengimport seperti India.

“Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan meningkatkan usaha untuk mempromosikan minyak sawit Malaysia, bukan sahaja di India, malah di seluruh dunia, termasuk pasaran bukan tradisional selaras dengan kempen “Gerakan Global untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zuraida berkata, memetik kenyataan Presiden Persatuan Pengeluar Minyak Sayur India (IVPA) Sudhakar Desai pada Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (MIACES) 2022 baru-baru ini, Malaysia telah mengekalkan dasar berkaitan perdagangan minyak sawit secara konsisten.

Katanya ia sekali gus memenuhi permintaan India semasa tempoh larangan eksport minyak sawit oleh Indonesia.

“Sudhakar juga dipetik sebagai berkata, rantaian bekalan Malaysia yang stabil memainkan peranan penting bagi keselamatan minyak makan untuk permintaan India dalam tempoh dua bulan lepas,” katanya.

Menurut Zuraida, kepercayaan India terhadap Malaysia sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia selepas Indonesia dan pembekal yang dipercayai telah diperkukuhkan lagi dengan Memorandum Persefahaman (MOU) yang ditandatangani antara IVPA dan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) di MIACES 2022.

MOU itu bertujuan mengukuhkan kerjasama antara India dan Malaysia dalam industri minyak sawit, meningkatkan kerjasama untuk mempromosikan industri minyak sawit India, bertukar maklumat berkaitan usaha kemampanan serta penyelidikan dan pembangunan minyak sawit, kata Zuraida.

“Untuk tujuan ini, saya senada dengan Sudhakar bahawa IVPA dan MPOC mampu menangani isu berkaitan dasar secara dinamik untuk manfaat industri di kedua-dua negara,” katanya.

Menurutnya IVPA menganggarkan import minyak sawit India dari Malaysia kekal stabil pada separuh kedua 2022, iaitu kira-kira 55 peratus daripada jumlah import minyak sawit India, walaupun Indonesia giat mempromosikan eksport komoditi tersebut sejak kebelakangan ini.

 IVPA dilaporkan meramalkan lonjakan permintaan kepada 800,000 tan sebulan untuk tempoh enam bulan akan datang atau peningkatan kira-kira 20 peratus daripada separuh pertama 2022. – Bernama, 4 Ogos, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen