Tokong di Air Itam terbakar


SEBUAH tokong dua tingkat di Lorong Lembah Ria, Air Itam, terbakar petang tadi, namun tiada mangsa terlibat dalam kejadian itu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 6.17 petang dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong terus ke lokasi kebakaran.

“Sebaik tiba, pihak bomba mendapati api sedang marak dan sebahagian tokong berkeluasan 149 meter persegi itu telah terbakar, operasi pemadaman dijalankan bagi memadam kebakaran tersebut.

“Lebih 80 peratus premis dua tingkat itu musnah dalam kebakaran dan tiada mangsa dilaporkan terlibat kerana difahamkan penjaga tokong serta pengunjung sempat menyelamatkan diri sebaik menyedari berlaku kebakaran,” katanya di George Town malam ini.

Katanya kebakaran berjaya dikawal dari merebak ke premis lain dalam tempoh 15 minit dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira 7 malam.

Beliau berkata seramai lebih 50 pegawai dan anggota bomba dari BBP Paya Terubong, BBP Jalan Perak dan BBP Bayan Baru dibantu Pasukan Bomba Sukarela terlibat dalam operasi itu.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat. – Bernama, 2 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen