Menjelang PRU14, cuti anggota polis untuk Mac hingga Mei dibekukan


Pembekuan itu diumumkan dua hari lalu dan terpakai kepada semua anggota PDRM termasuk kepimpinan kanan Bukit Aman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Februari, 2018.

DALAM satu lagi petunjuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) makin hampir, semua cuti bulan Mac, April dan Mei anggota polis dibekukan, lapor akhbar The Star.

Memetik kenyataan Pengarah Pengurusan PDRM Bukit Aman, Abdul Ghafar Rajab, pembekuan itu diumumkan dua hari lalu dan terpakai kepada semua anggota PDRM termasuk kepimpinan kanan Bukit Aman.

“Ia sebahagian persediaan kami untuk pilihan raya akan datang.

“Pembekuan semua cuti, termasuk cuti perjalanan dalam negara akan dikenakan sebaik sahaja tarikh pilihan raya diumumkan,” katanya dipetik akhbar itu.

PRU14 perlu diadakan pada atau sebelum Ogos ini.

Pembekuan itu bagaimanapun tidak melibatkan lawatan kerja ke luar negara pengarah Bukit Aman, katanya lagi.

The Star juga melaporkan Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Azizan Abu Bakar sebagai berkata sekitar 130,000 anggota polis akan digerakkan semasa pilihan raya.

Polis sudah melakukan sesi latihan sebagai persediaan pilihan raya, kali terakhir ia dilakukan adalah awal Mac lalu, kata Azizan.

Latihan ini melibatkan empat situasi: tempoh selepas Parlimen dibubarkan, hari penamaan calon, hari pengundian dan ketika keputusan pemilihan diumumkan, katanya.

Semalam, dilaporkan yang Suruhajaya Pilihan Raya sudah menempah semua pesawat daripada dua pembekal perkhidmatan helikopter peribadi di Sabah untuk April dan Mei. – 23 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen