Demonstrasi bukan penyelesaian terbaik turun harga barang, kata wakil pelajar


Majlis perwakilan pelajar (MPP) daripada beberapa universiti tempatan senada bahawa demonstrasi bukan jalan penyelesaian yang terbaik dalam menghadapi masalah berkenaan, sebaliknya menimbulkan suasana buruk dan merosakkan keharmonian negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Julai, 2022.

RATA-RATA kepimpinan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) membantah penglibatan mahasiswa dalam perhimpunan #Turun yang diadakan di hadapan pusat beli-belah Sogo di Kuala Lumpur pada 23 Julai lepas berhubung isu kenaikan harga barang, baru-baru ini.

Majlis perwakilan pelajar (MPP) daripada beberapa universiti tempatan melalui kenyataan berasingan senada bahawa perbuatan itu bukan jalan penyelesaian yang terbaik dalam menghadapi masalah berkenaan, sebaliknya menimbulkan suasana buruk dan merosakkan keharmonian negara.

Yang Dipertua MPP Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ahmad Fahmi Fazli berkata usaha penyelesaian secara kolektif perlu dijadikan asas semua pihak, termasuk mahasiswa yang mempunyai peranan dalam menangani situasi ekonomi dunia tidak menentu ketika ini.

Beliau menyarankan kerajaan untuk melibatkan wakil mahasiswa dalam membuat keputusan bagi menjamin kebajikan mahasiswa dan rakyat secara keseluruhan.

“Kami juga sedia memberi buah fikiran serta menyambut baik segala keputusan yang dapat membawa manfaat kepada semua mahasiswa di Malaysia,” katanya. 

Sementara itu MPP Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pula menyifatkan perbuatan itu seumpama menabur garam di luka, apabila negara sedang bergolak dalam situasi ekonomi yang tidak menentu dan berpendirian bahawa sesuatu masalah harus diselesaikan dengan proaktif.

MPP UTM menyarankan penggunaan pelbagai saluran dan ruang antara masyarakat dan pemimpin sedia ada, supaya pandangan mahasiswa dibawa melalui medium yang tepat dan tidak mudah dipengaruh.

MPP Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pula berpendapat bahawa masalah kenaikan harga barang perlu ditangani secara profesional.

“Hakikatnya cara terbaik yang perlu diambil adalah menjalankan perbincangan dengan cara serta saluran yang betul, sekali gus membolehkan idea dan aspirasi mahasiswa disampaikan kepada kerajaan dengan lebih teratur,” menurutnya.

Sementara itu Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (KMUKM) menyuarakan keyakinan bahawa solusi yang terbaik akan hadir melalui medium dan jalan yang betul kerana segala isu yang wujud pasti dapat diselesaikan secara rundingan dan perbincangan yang baik bersama pihak bertanggungjawab. – Bernama, 27 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen