21 Adun BN tak pernah tak sehaluan dengan Sulaiman, kata Rauf


Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali berucap ketika sidang DUN Melaka hari ini. – Gambar Facebook Sulaiman Md Ali, 25 Julai, 2022.

SERAMAI 21 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) tidak pernah tidak sehaluan dengan kepimpinan Ketua Menteri Sulaiman Md Ali selepas BN menang bergaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, November lalu.

Exco kanan pelaburan, perindustrian, pembangunan usahawan dan koperasi negeri Ab Rauf Yusoh berkata malah 10 daripada 21 Adun yang dilantik sebagai ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco) sedang merancang untuk memajukan Melaka di bawah kepimpinan Sulaiman.

“Maka soal dalaman ini tidak timbul yang sering diuar-uarkan dalam media sosial secara langsung atau tidak secara langsung (oleh mana-mana pihak) yang cemburu atas kejayaan kami dapat menambat hati rakyat pada PRN yang lalu,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini.

Ab Rauf menjawab soalan tambahan dikemukakan Kerk Chee Yee (PH-Ayer Keroh) yang mahu tahu adakah cabaran dari segi aspek faktor dalaman yang boleh ditambah baik untuk menarik lebih banyak pelaburan asing ke Melaka.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia sentiasa memberi sokongan terbaik untuk merealisasikan dasar yang dibuat sekali gus memberi faedah kepada rakyat.

“Itu sebabnya saya tidak melihat isu dalaman ini adalah isu yang amat besar dan teramat dalam… ia tak dalam pun cuma apa yang saya lihat dalam hal ini adalah mereka yang tidak suka akan apa yang kita peroleh selepas PRN lalu.

“Saya menegaskan prestasi kerajaan negeri yang ada hari ini dengan nilai pelaburan sebanyak RM2.2 bilion dalam tempoh empat bulan (pertama tahun 2022) menunjukkan pelabur datang ke Melaka disebabkan kestabilan kaedah pentadbiran terbaik dibawa ketua menteri,” katanya.

Terdahulu, Ab Rauf berkata, sebanyak RM3.7 bilion jumlah pelaburan asing baharu diluluskan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) bagi tempoh tahun 2021 yang direkodkan masuk ke Melaka, manakala pelaburan asing suku tahun pertama 2022 pula berjumlah RM2.2 bilion diluluskan Mida.

“Pelaburan asing baharu ini merupakan pelaburan dalam bidang pembuatan, primer dan juga perkhidmatan yang berjaya menghasilkan 107 peluang pekerjaan pada Oktober hingga Disember 2021 dan 428 peluang pekerjaan bagi tempoh Januari hingga Mac 2022.

“Antara negara yang direkodkan bagi pelaburan asing pada Oktober hingga Disember 2021 adalah dari Jerman, Thailand, Mesir, Singapura, Taiwan dan Amerika Syarikat manakala bagi pelaburan asing dari Januari hingga Mac 2022 adalah dari Singapura, Jerman, Taiwan, Belanda, China dan Amerika Syarikat,” katanya.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Dr Mohd Aleef Yusof (PN-Sungai Udang) yang bertanya jumlah pelaburan asing baharu yang sudah dimeterai pada PRN Melaka dari November 2021 sehingga kini. – Bernama, 25 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen