Guan Eng gesa hukum mat rempit seperti pemandu mabuk


Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata pelumba motosikal haram harus dikenakan hukuman berat sama seperti hukuman ke atas pemandu mabuk kerana tindakan mereka jelas mereka membahayakan pengguna jalan raya. – Gambar Twitter, 24 Julai, 2022.

PELUMBA motosikal haram harus dikenakan hukuman berat sama seperti hukuman ke atas pemandu mabuk kerana tindakan mereka jelas mereka membahayakan pengguna jalan raya, kata Lim Guan Eng.

Memetik kenyataan bekas ahli lembaga pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) Shahrir Tamrin, pengerusi DAP itu berkata data polis menunjukkan sebanyak 12,000 kemalangan maut membabitkan ‘mat rempit’ direkodkan sejak 2009.

“Jelas sekali mat rempit mengancam keselamatan orang awam, membahayakan nyawa dan menjejaskan mata pencarian pemandu lain yang tidak bersalah.

“Kebiasaannya, jumlah kematian yang tinggi memerlukan menteri pengangkutan bertindak segera. Malangnya, Wee Ka Siong nampaknya tiada kemahuan politik yang sama seperti beliau lakukan ke atas pemandu mabuk untuk menangani mat rempit yang berbahaya,” kata Lim dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Bagan itu juga bertanya adakah kesungguhan Wee hanya dalam isu melibatkan pemandu mabuk atas sebab politik.

Katanya, mengikut data yang dikeluarkan polis jumlah pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah ialah 212 orang pada 2020, 39 pada 2019, 191 (2018), 212 (2017) dan 461 (2016).

Manakala data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan laporan keselamatan jalan raya global dari Disember 2018 pula menunjukkan kurang daripada 1% kemalangan maut di Malaysia membabitkan pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol (DUI), iaitu salah satu daripada kadar kematian jalan raya terendah di dunia.

Tetapi jika dibandingkan dengan 12,000 kemalangan maut melibatkan mat rempit, jumlahnya jauh lebih besar berbanding disebabkan pemanduan di bawah pengaruh alkohol, tambah Lim.

“Data polis menunjukkan sejak 2014 DUI menyumbang peratusan kematian terendah daripada jumlah kematian jalan raya iaitu 2.89% pada 2014, 3.41% (2015), 3.31% (2016), 0.86% (2017), dan 0.85% (2018). 

“Hanya 69 kes DUI di jalan raya Malaysia dikaitkan dengan kemalangan maut antara 2011 dan Julai 2021,” katanya.

Pada 2020 kerajaan meminda hukuman pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah membabitkan kadar denda, tempoh penjara dan penggantungan lesen memandu.

Pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun atau maksimum 15 tahun; denda antara RM50,000 hingga RM100,000 dan hilang kelayakan lesen bagi tempoh minimum 10 tahun, bagi sabitan pertama.

Pesalah berdepan hukuman penjara minimum 15 tahun atau maksimum 20 tahun; denda antara RM100,000 hingga 150,000 dan hilang kelayakan lesen selama 20 tahun, bagi sabitan seterusnya.

Bagi kes menyebabkan kecederaan, pesalah berdepan hukuman penjara minimum tujuh tahun atau maksimum 10 tahun; denda antara RM30,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan lesen minimum tujuh tahun, bagi sabitan pertama.

Pesalah juga boleh dipenjara minimum 10 tahun atau maksimum 15 tahun; denda antara RM50,000 hingga RM100,000 dan hilang kelayakan lesen selama 10 tahun, bagi sabitan seterusnya. – 24 Julai, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen