Cemar alam sekitar, syarikat lebur aluminium didenda RM36,000


SEBUAH syarikat peleburan aluminium aloi sekunder yang melanggar perintah penghentian operasinya kerana mencemarkan alam sekitar didenda RM36,000 selepas mengaku salah atas tiga pertuduhan di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di Melaka hari ini.

Syarikat Trimax Metal Sdn Bhd sebagai Orang Kena Saman (OKS) yang diwakili pegawai sumber manusianya Lee Chew Fong, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, Trimax Metal Sdn Bhd didapati membina sistem kawalan pencemaran udara iaitu satu unit “aluminium separator” dan satu unit “magnetic separator” berserta satu unit “cooling section” yang digunakan di premis itu bagi mengawal pencemaran udara daripada proses peleburan aluminium aloi sekunder.

Tindakan itu menyebabkan satu punca pengeluaran baharu tanpa mengemukakan pemberitahuan bertulis terlebih dahulu kepada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling.

Sementara pertuduhan kedua, OKS didapati telah membuat perubahan pada alat pembakaran bahan api iaitu satu unit relau peleburan aluminium dan dua unit “relau holding” yang digunakan di premis itu bagi proses peleburan aluminium aloi sekunder.

Tindakan itu menyebabkan perubahan material dalam kuantiti pengeluaran daripada suatu punca yang sedia ada tanpa mengemukakan pemberitahuan bertulis terlebih dahulu kepada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling.

Bagi kedua-dua pertuduhan ini, OKS telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 5 (1) (d), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (udara bersih) 2014 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 29, peraturan yang sama.

Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Pada pertuduhan ketiga, OKS didapati telah mengganggu arahan penahanan operasi kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38 (1)(c) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) yang dikeluarkan pada 15 Julai 2021 bagi alat pembakaran sumber api iaitu satu unit relau peleburan aluminium dan dua unit ‘relau holding’ yang digunakan di premis itu.

OKS didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 48AD (b) Akta 127 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 48AD, akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebih RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Kesemua kesalahan tersebut dilakukan di Jalan TTC 8, Taman Teknologi Cheng, Melaka Tengah pada 14 September 2021 antara 11 pagi hingga 12.20 tengah hari.

Mengikut fakta kes, siasatan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati syarikat itu melakukan kesalahan berulang kerana masih gagal mengemukakan perakuan perisytiharan bertulis bagi sistem kawalan pencemaran udara.

Pendakwaan dilakukan Pendakwa JAS Nosora Mohd Jadi yang memohon agar hukuman setimpal dikenakan memandangkan aktiviti syarikat itu memberi impak serius kepada alam sekitar di samping kesalahan dilakukan juga adalah kesalahan berulang selain mengabaikan perintah penutupan yang dikeluarkan JAS.

Bagaimanapun, OKS yang tidak diwakili peguam memohon denda dikurangkan dan menjelaskan dia sedang dalam perancangan untuk menutup operasi kilang.

Nariman dalam penghakimannya menetapkan denda RM14,000 atau penjara empat bulan jika gagal membayar denda bagi setiap pertuduhan pertama dan kedua manakala denda sebanyak RM8,000 atau dua bulan penjara bagi pertuduhan ketiga. – Bernama, 22 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen