Bekalan vaksin influenza mencukupi, kata kumpulan imunisasi


Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Program Immunise4Life, Dr Zulkifli Ismail berkata bekalan vaksin berkenaan masih boleh didapati dengan mudah di banyak klinik dan hospital di seluruh negara. – Gambar EPA, 22 Julai, 2022.

TIADA kekurangan vaksin selsema (influenza) kerana ia boleh didapati di banyak klinik dan hospital di seluruh negara, kata Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Program Immunise4Life, Dr Zulkifli Ismail.

Beliau menolak laporan media mengenai kekurangan vaksin itu, dengan menyatakan bahawa vaksin itu dibekalkan oleh banyak syarikat dan satu laporan berita mengenai ketidakupayaan satu syarikat membekalkannya tidak menggambarkan keadaan sebenar.

“Ini menyebabkan tersebarnya khabar angin di media sosial bahawa kita kini menghadapi kekurangan vaksin influenza.

“Media akan mendapati perkara ini (tidak benar) jika mereka membuat pemeriksaan dengan beberapa klinik dan bukannya hanya memetik sumber yang tidak dinamakan,” kata Dr Zulkifli dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kepada laporan media sejak 8 Julai memetik seorang doktor tanpa nama yang menerima memo daripada pembekal yang mendakwa vaksin selesema hanya akan tersedia pada 2024.

“Kami ingin menegaskan bahawa TIADA KEKURANGAN vaksin selesema. Vaksin selesema sebenarnya boleh didapati di banyak klinik dan hospital di seluruh negara,” kata Dr Zulkifli.

Beliau juga menasihatkan rakyat Malaysia supaya mendapatkan suntikan segera kerana kes selesema semakin meningkat di seluruh negara sejak kebelakangan ini.

“Sebagai profesional penjagaan kesihatan, kami menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan suntikan selesema tahunan mereka, terutamanya wanita hamil, kanak-kanak kecil, orang yang mempunyai masalah kesihatan kronik, dan orang tua.

“Kumpulan berisiko tinggi ini terdedah kepada selesema teruk yang boleh mengakibatkan sindrom gangguan pernafasan akut, radang paru-paru, kegagalan pelbagai organ dan juga kematian.”

Selain menekankan vaksinasi selesema, beliau turut menggesa orang ramai untuk terus mengamalkan prosedur operasi standard bagi meminimumkan risiko.

Ini, katanya termasuk memakai topeng di dalam bangunan, kerap mencuci tangan dengan sabun dan air, dan mengamalkan penjarakan fizikal.

“SOP ini membantu mengurangkan risiko dijangkiti Covid-19 dan selesema.”

Immunise4Life telah dimulakan oleh Kementerian Kesihatan pada tahun 2013 untuk menggalakkan imunisasi terhadap penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin. Ia merupakan inisiatif pendidikan komuniti yang dikendalikan oleh pakar perubatan. – 22 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen