Selepas Malaysia sekat eksport, Indonesia bekal ayam sejuk beku ke Singapura


Singapura meluluskan Indonesia sebagai negara sumber baharu bekalan ayam sejuk beku ke republik itu berkuat kuasa 30 Jun.– Gambar EPA, 13 Julai, 2022.

SINGAPURA hari ini mula menerima bekalan ayam sejuk beku dari Indonesia selepas Malaysia menyekat eksportnya awal bulan lepas, lapor The Straits Times.

Menteri Pertanian Indonesia Syahrul Yasin Limpo menganggarkan kontrak bekalan ayam sejuk beku ke Singapura ini bernilai 40 bilion rupiah atau lebih kurang RM12 juta.

Bekalan pertama sebanyak 50,000 kilogram daripada syarikat penternakan unggas Charoen Pokphand Indonesia (CPI) dijadual berlepas dari pelabuhan Tanjung Priok petang ini. Ia dijangka tiba di Singapura pada Jumaat.

Presiden Komisaris CPI Tjoe Hadi Gunawan berkata pihaknya dijangka menghantar 1,000 tan ayam sejuk beku secara berperingkat ke Singapura sepanjang tahun ini.

“Kami mempunyai harapan tinggi eksport ini berjalan lancar dan berterusan, dan akan bertambah,” katanya, seperti dipetik laman web akhbar itu.

Beliau juga menyifatkan peluang eksport itu menjanjikan masa depan baik untuk industri ternakan unggas di Indonesia di tengah krisis makanan global.

Singapura meluluskan Indonesia sebagai negara sumber baharu bekalan ayam sejuk beku ke republik itu berkuat kuasa 30 Jun.

Indonesia sebelum ini hanya menjual telur masin ke Singapura dan tidak pernah menjual ayam sejuk beku.

Eksport ayam beku Indonesia ke Singapura dikendalikan oleh CPI dan Ciomas Adisatwa, anak syarikat Japfa Comfeed Indonesia.

Ciomas Adisatwa dijangka akan mula menghantar bekalannya ke Singapura 24 Julai ini dan meletakkan sasaran 100 tan ayam sejuk beku dalam sebulan pertama operasi, kata laporan yang sama.

Malaysia menghentikan eksport ayam berkuat kuasa 1 Jun bertujuan untuk menstabilkan harga dan pengeluaran ayam, serta memastikan bekalan yang cukup untuk keperluan dalam negara. Sebahagian larangan itu ditarik balik pada 14 Jun.

Singapura dilapor mengimport sekitar 34 peratus ayam dari Malaysia, dengan kebanyakannya dibawa masuk sebagai ayam segar yang kemudian diproses di republik itu. – 13 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen