Bukan salah kelab komedi, kenapa arah tutup, soal Hannah Yeoh


DBKL menggantung sementara operasi sebuah kelab komedi Crackhouse di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur susulan satu klip video tular dipercayai menghina agama Islam.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 11 Julai, 2022.

HANNAH Yeoh hari ini menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membenarkan Crackhouse Comedy Club beroperasi semula, selepas operasi premis itu digantung sementara susulan kes seorang wanita didakwa menghina Islam dalam satu persembahan di kelab itu.

Ahli Parlimen Segambut itu berkata Crackhouse tidak sepatutnya dipersalahkan dalam hal ini kerana ia hanya platform bagi pelawak membuat persembahan komedi mereka. Yang salah ialah wanita yang didakwa menghina Islam itu, dan dia sudah pun ditahan polis, kata Yeoh di Twitter.

Tambahnya, tindakan DBKL itu sama seperti menutup pawagam hanya kerana menayangkan filem yang teruk.

“Menghukum sesuatu platform tidak ubah seperti mengharamkan TikTok kerana hantaran tidak sepatutnya yang dimuat naik pengguna. 

“Pihak berkuasa dan rakyat Malaysia amnya perlu mengambil tindakan yang lebih baik, bukan memilih jalan pintas untuk menangani masalah. Kemahiran menganalisis perlu dititikberatkan dalam sistem pendidikan kita,” tulisnya.

Kelab komedi Crackhouse menjadi tajuk utama berita sejak semalam selepas video seorang wanita menanggalkan tudung dan baju kurung yang dipakainya semasa membuat persembahan komedi solo di premis itu. 

Wanita terbabit, dikenali sebagai Siti Amira atau Amy, sebelum itu mendakwa dirinya beragama Islam serta sudah menghafal 15 juzuk al-Quran. 

DBKL dalam kenyataan semalam berkata arahan menggantung sementara operasi Crackhouse dikeluarkan sebagai mesej jelas bahawa ia tidak akan sama sekali bertoleransi dengan apa jua aktiviti yang melanggar mana-mana sensitiviti melibatkan agama, bangsa dan kedaulatan negara.

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh berkata lkelab komedi Crackhouse tidak sepatutnya dipersalahkan kerana ia hanya platform bagi pelawak membuat persembahan komedi mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 11 Julai, 2022.

Sementara itu, pelakon Sharifah Amani di Twitter juga berkata wanita tersebut satu-satunya yang harus dipersalahkan, bukan Crackhouse.

“Ini bukan salah Crackhouse ini salah individu. Tolong berlaku adil kepada platform seni kita kerana mereka dalam kepayahan,” tulisnya.

Video rakaman persembahan komedi solo wanita itu tersebar di media sosial dan menerima kecaman orang ramai. Dia ditahan polis di Taman Jaya, Jalan Gasing semalam.

Awal hari ini, pengasas Merdekarya Brian Gomez dalam satu catatan di Facebook berkata wanita itu dan pasangannya pernah mencetus masalah di kelab itu.

Menurut Gomez, pasangan itu pernah melepak di Merdekarya pada 2015 dan mereka membuat kacau.

“Ia sampai ke satu tahap yang mana salah seorang pelanggan kami mahu membelasah Alex. Oleh itu, kami menyuruh mereka berubah atau menjauhi Merdekarya. Mereka memilih untuk melangkah pergi.”

Namun Gomez berkata, lelaki yang dikenali sebagai “Alex” itu kembali ke Merdekarya bersama “isterinya”, Amy, baru-baru ini dan mencadangkan untuk menganjurkan bengkel seks.

“Tetapi kerana fikiran dan jiwa yang waras, Merdekarya menolak mereka kerana ia bukan tempat untuk pesta seks.”

Gomez berkata kedua-duanya pernah mengancam untuk membakar premis Merdekarya.

“Selama lima hari berturut-turut, mereka menghantar ugutan bunuh dan mengugut untuk membakar premis kami melalui WhatsApp dan media sosial. Ramai pelanggan kami juga menerima ancaman sama.”

Merdekarya kemudian membuat laporan polis dan “Alex” ditangkap dan didakwa, katanya.

“Dia mengaku bersalah dan dibebaskan selepas membayar denda RM100.” – 11 Julai, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen